Jumaat, 3 September 2021

Padah suntik raksa mahu jadi X-Men, kulit terpaksa dipotong


Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang terpengaruh dan ingin menjadi seperti karakter adiwira fiksyen X-Men, nekad menyuntik tubuhnya sendiri dengan cecair merkuri atau raksa, lapor Daily Star pada 30 Ogos 2021.


Remaja itu dilaporkan ingin mencontohi karakter adiwira studio Marvel namun tindakan itu menyebabkan tubuhnya ditumbuhi bisul yang menyakitkan dan sukar sembuh di bahagian kiri lengannya.


Kes tersebut dilaporkan dalam laporan Pusat Maklumat Nasional Bioteknologi India. Menurut laporan berkenaan, kecederaan yang dialami remaja yang tidak didedahkan identitinya itu berlaku selepas dia menyuntik tubuhnya dengan raksa.


Remaja itu menyatakan bahawa dia berbuat demikian sekurang-kurangnya tiga kali dengan menggunakan raksa yang diambil daripada sebiji termometer. Doktor terpaksa menjalankan pemeriksaan toksikologi bagi menilai tahap raksa dalam darah mangsa.


Dia bernasib baik kerana suntikan yang dilakukan, bukan semuanya pada salur darah utama, namun bisul yang terjadi pada tubuhnya itu perlu dipotong dan dia juga harus menjalani pembedahan mencantumkan kulit yang rosak.


"Remaja itu juga mempunyai sejarah digigit labah-labah kerana mahu menjadi seperti Spider-Man. Namun, dia tidak mempunyai masalah psikiatrik lain selain mempunyai kecerdasan otak atau IQ yang normal," tulis laporan tersebut.


Kesan kecederaan yang dialami mangsa akibat menyuntik kandungan berbahaya dalam badan. - Foto NCBI.


EmoticonEmoticon