Rabu, 15 September 2021

Perhilitan Rampas 50 Sumbu Badak Bernilai RM30 Juta


Jabatan Taman Negara dan Hidupan Liar Semenanjung Malaysia (Perhilitan) menumpaskan cubaan menyeludup 50 sumbu badak yang dianggarkan bernilai RM30 juta, selepas menahan dua orang suspek pada 9 September, Khamis lalu.


Dua orang suspek warga tempatan itu ditahan di bulatan Masjid Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) Zon Tengah, kerana melakukan jenayah melibatkan penyeludupan hidupan liar.


Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, suspek ditahan dalam operasi tersebut berikutan hasil risikan berterusan oleh unit khas jabatan berkenaan. Rampasan itu adalah yang terbesar dalam tempoh lima tahun bagi sitaan sumbu badak.


"Melalui operasi itu, turut dirampas adalah sebuah lori dan dokumen berkaitan penyeludupan sumbu badak. Operasi tangkapan ini dijalankan anggota Perhilitan hasil risikan secara berterusan oleh unit khas," katanya.


Abdul Kadir berkata, sumbu badak berkenaan disyaki diseludup dari luar negara namun analisis Deoxyribonucleic Acid (DNA) akan dijalankan Makmal Forensik Jabatan Perhilitan bagi mengenal pasti sumber asal bahagian hidupan liar itu.


Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 68, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) iaitu menyimpan mana-mana hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya. Jika disabit kesalahan, hukuman denda boleh dikenakan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.


Sementara itu, katanya, dalam tempoh sedekad kebelakangan ini, pihaknya mencatatkan sebanyak lima kes berkaitan kegiatan penyeludupan melibatkan 96 batang sumbu badak.


"Spesies badak dan bahagiannya adalah dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716). Ia juga disenaraikan dalam apendik I Akta Perdagangan Antarabangsa iaitu spesies ini tidak boleh diperdagangkan," ujarnya.


Perhilitan merampas 50 sumbu badak bernilai RM30 juta dalam Operasi Bersepadu Khazanah ( OBK) Zon Tengah pada 9 September lalu. - Foto Perhilitan.


EmoticonEmoticon