Ahad, 5 September 2021

Nampak UFO Setiap Kali Melakukan Penerbangan Dakwa Juruterbang Tentera Laut AS


Kisah objek tidak dikenali (UFO) bukan baru. Sudah terlalu banyak teori dan penemuan yang dikaitkan kewujudan makhluk asing ini. Biarpun banyak gambar dan saksi-saksi yang mengaku berpeluang melihatnya, namun misteri tentang UFO masih tidak jelas.


Menurut laporan Daily Star pada 3 September 2021, seorang juruterbang tentera laut Amerika Syarikat (AS) mengakui melihat UFO terbang di ruang udara setiap kali dia melakukan penerbangan.


Ryan Graves menggambarkan kesemua UFO yang dilihatnya sebagai fenomena udara tidak dikenali (UAP) dan mendakwa boleh mencetuskan ancaman keselamatan. Dia membuat kenyataan itu beberapa minggu selepas Pentagon mendedahkan laporan mengenai penampakan UFO.


Laporan itu memaklumkan, tiada tanda-tanda kehidupan makhluk asing dikenal pasti dan menegaskan penampakan sejumlah UFO sebelum ini tidak dapat dijelaskan. Namun, Graves memberitahu, kesemua UAP yang dilihatnya sejak 2014 lalu adalah sukar untuk dipalsukan.


"UAP itu mungkin boleh jadi jet tentera dari negara lain yang kita tidak ketahui, maka keadaan tersebut secara tidak langsung boleh mengancam keselamatan. Adalah sukar untuk menyatakan semua penampakan UAP itu, lebih-lebih lagi jika anda melihatnya hampir setiap hari," katanya.


Sementara itu, pakar berpendapat kebanyakan kes penampakan UAP adalah melibatkan pesawat fizikal kerana boleh dikesan menerusi pelbagai sistem termasuk inframerah dan radar. Kerajaan AS menerusi satu lagi laporan turut menyatakan ratusan penampakan UFO dikesan antara 2004 hingga 2021.


AS mempunyai sejarah yang panjang tentang pesawat misteri ini, termasuk penemuan serpihan logam aneh pada tahun 1947 di Roswell, New Mexico. Laporan berita kemudian menyebutnya 'piring terbang', tetapi tentera AS mendakwa ia adalah belon cuaca yang jatuh.


Ryan Graves mengatakan UAP menimbulkan ancaman kepada keselamatan. - Foto Fox 8 News.


EmoticonEmoticon