Seorang lelaki di Vietnam yang digelar 'Tarzan sebenar' kerana dibesarkan di dalam hutan selama 40 tahun, sebelum kembali ke kampung halamannya pada tahun 2013 lalu, dilaporkan meninggal dunia.
Menurut laporan akhbar The Sun pada 13 September 2021, Ho Van Lang, 52 tahun meninggal dunia akibat kanser hati pada 6 September lalu. Lelaki itu hanya menghabiskan lapan tahun terakhir hayatnya bersama masyarakat bertamadun.
Dia tinggal bersama bapanya Ho Van Thanh di sebuah kampung terpencil di negara ini selepas kedua-duanya keluar dari hutan di daerah Tra Bong. Baca juga: Lebih 40 tahun sembunyi dalam hutan, lelaki ini fikir dunia masih dalam peperangan.
Sebelum itu, dua beranak itu hidup dalam hutan seperti kisah filem terkenal Hollywood, dengan memakai pakai dibuat daripada daun selain memburu haiwan untuk dijadikan makanan. Mereka juga langsung tidak berhubung dengan dunia moden lebih empat dekad.
Thanh yang merupakan veteran tentera, mengambil keputusan untuk meninggalkan kampung kecilnya pada 1972 bersama Lang yang ketika itu berusia dua tahun selepas letupan bom tentera Amerika Syarikat mengorbankan isteri dan dua anaknya yang lain.
Thanh dikatakan mengalami 'fobia mendalam untuk kembali kerana dia tidak percaya bahawa Perang Vietnam telah berakhir' sebelum ditemui oleh penduduk tempatan pada tahun 2013.
Sepanjang tinggal di hutan, dua beranak itu makan sayur-sayuran, buah-buahan, madu dan pelbagai jenis daging termasuk monyet, tikus, ular, cicak, katak, kelawar, burung dan juga ikan. Namun, orang ramai percaya penyesuaian terhadap kehidupan moden merupakan sesuatu yang sukar bagi Lang.
Pengembara, Alvaro Cerezo berkata, dia begitu sedih melihat keadaan dua beranak itu dan merasai penderitaan dialami Lang sejak sebulan lalu. Cerezo sebelum ini pernah merasai kehidupan bersama-sama Lang di dalam hutan selama seminggu dan menulis buku tentang kehidupan lelaki itu.
"Saya sedih melihat pemergian Lang, namun saya tahu ia sesuatu yang baik kerana saya tahu dia menderita beberapa bulan terakhir sebelum meninggal dunia. Saya tidak menganggap dia sesuai untuk hidup dalam suasana moden kerana tidak mampu menerima perubahan drastik.
"Dia menghabiskan seluruh hidupnya tinggal di hutan dan apabila dia berada dalam dunia moden, Lang makan makanan yang diproses dan minum minuman beralkohol," kata Alvaro Cerezo.
EmoticonEmoticon