Ahad, 19 September 2021

Lelaki Beli Kereta Untuk Anaknya Guna Duit Syiling RM33,163


Walaupun jarang kita dengari transaksi pembelian kenderaan yang berharga puluhan ribu ringgit menggunakan wang tunai, tapi ia bukan sesuatu yang menghairankan jika seseorang ingin membeli kenderaan dengan cara itu.


Bagaimanapun, lain pula kisah bagi kakitangan sebuah premis jualan kereta di China apabila berdepan seorang pelanggan yang mahu membayar tunai menggunakan duit syiling.


Memetik laporan World of Buzz hujung Ogos lalu, seorang lelaki yang bekerja dalam industri makanan dari Zhoukou di wilayah Henan, China membeli sebuah kereta berharga 51,000 yuan (kira-kira RM33,163).


Namun, lelaki berkenaan membayar sepenuhnya dengan duit syiling. Menariknya, kedai menjual kenderaan itu tidak menolak permintaan lelaki berkenaan sebaliknya telah mengerahkan 20 pekerja untuk mengira 10 beg duit syiling berkenaan.



Chen, kakitangan di premis jualan kereta berkata, pembeli itu bekerja dalam bidang perusahaan tepung. Dia datang ke premis jualan dengan membawa 10 beg berisi duit syiling bagi membeli kereta untuk anaknya.


"Saya meminta bantuan lebih 20 kakitangan lain untuk mengira duit syiling satu persatu dan usaha itu mengambil masa lebih dari tiga jam. Ini adalah kali pertama berurusan dengan pelanggan yang membuat pembayaran tunai guna duit syiling," kata Chen.


Kejadian itu telah tular di seluruh dunia dan ramai netizen yang kagum dengan lelaki berkenaan yang seolah-olah mengumpul duit syiling untuk membeli sebuah kereta untuk anak lelakinya.


Netizen turut terkejut kerana bilik pameran itu masih menerima pembelian berkenaan dan bersetuju untuk menghitung wang tersebut. Dalam pada itu, warga maya lain mencadangkan agar kakitangan tersebut menggunakan kaunter duit syiling.



EmoticonEmoticon