Isnin, 27 September 2021

Kerapu Gergasi Seberat 160kg Ditangkap Di Perairan Labuan Dan Dijual Dengan Harga RM8,000


LABUAN - Ikan kerapu gergasi atau dikenali oleh penduduk tempatan sebagai 'keratang' seberat 160 kilogram (kg) berjaya ditangkap, dan dijual dengan harga RM8,000 kepada sebuah restoran makanan laut, Fishermen Harbour Restaurant di Paragon, semalam.


Menurut Dullah Latif, 64, beliau mengarahkan pekerjanya ke perairan Marine Farms (kira-kira 100 batu nautika dari Labuan) untuk memancing pada pagi Sabtu, apabila dikejutkan dengan kemunculan ikan gergasi itu semalam.


"Selepas lebih 30 minit 'bergelut' dengan joran, akhirnya barulah kelibat ikan itu kelihatan di permukaan, dan sebaik sahaja mereka (pekerja) nampak ikan itu, mereka menjerit kegembiraan.


"Tiga orang diperlukan untuk menaikkan ikan itu ke dalam bot. Kerapu yang ditangkap itu berukuran lebih dari tujuh kaki (2.1 meter) panjang dan seberat 160kg," katanya.


Dullah berkata, ini bukan kali pertama beliau mendapat 'habuan besar' kerana menurutnya pada Februari 2019, beliau pernah menangkap ikan seberat 241kg yang dijual pada harga RM13,225 dan diikuti dengan tangkapan seberat 165kg dan 135kg.


Pemilik Fishermen Harbour Dylan Chua berkata, ikan itu akan dihiris kecil dan dimasukkan ke dalam mi sup mereka yang cukup terkenal, direbus dengan sos coklat dan diadun dengan cendawan.


"Ikan itu juga boleh digunakan untuk menu popular kami. Ia akan digoreng dengan halia dan daun bawang dan digoreng dengan sos kacang hitam," katanya.


Menurut nelayan tempatan, ikan gergasi dari keluarga kerapu itu boleh hidup 30 hingga 50 tahun. - Sumber Bernama.


EmoticonEmoticon