Isnin, 13 September 2021

Kerana Berjimat, Akauntan Wanita Ini Cari Makanan Dalam Tong Sampah Dan Tidak Beli Baju Baharu Sejak 1998


Apabila seseorang berhijrah atau memutuskan untuk berpindah ke bandar lain, perkara pertama yang menyentuh fikirannya adalah berapa banyak wang yang diperlukan untuk memenuhi keperluan asas kehidupan di sana.


Kos hidup di bandar-bandar besar memang tinggi, terutamanya bandar New York yang merupakan salah satu bandar termahal di dunia. Oleh itu tidak hairanlah jika ramai penduduk New York mempunyai cara masing-masing untuk berjimat cermat.


Baru-baru ini, seorang akauntan Kate Hashimoto (wanita Jepun) dari New York, Amerika Syarikat telah mendedahkan dalam rancangan TLC Extreme Cheapskates mengenai cara hidupnya yang mampu bertahan dengan perbelanjaan bulanan cuma AS$200 (RM829).


Hashimoto memberitahu, dia telah tinggal di kota yang mempunyai kos hidup tinggi itu selama tiga tahun, tetapi mempunyai cara tersendiri untuk berjimat. Katanya, sekiranya perlu mengeluarkan wang, dia cuba untuk mengelak dan akan cuba membayar seminimum mungkin.



Hashimoto memaklumkan, dia tidak pernah membeli perabot sebaliknya menggunakan perkakas rumah yang dibuang dalam tong sampah di tepi jalan berhampiran apartmen tempat tinggalnya.


"Saya menghiasi rumah dengan mengambil perabot-perabot yang dibuang oleh jiran sebelum sempat lori sampah datang mengangkutnya. Tindakan berkenaan membolehkan saya jimat beberapa ribu dolar untuk membeli perabot baharu," tegasnya.


Dia juga selesa tidur di atas katil bertilamkan lapisan span yang diambil dari jalanan dan meja makan pula menggunakan susunan buku dan majalah lama. Akauntan bertauliah itu juga memiliki sofa di ruang tamu rumah yang terdiri daripada bingkai katil kecil dan tilam nipis.


Dia memperoleh kedua-dua barangan itu di tempat timbunan sampah di luar asrama sebuah sekolah. Hashimoto turut mendedahkan, dia tidak pernah membeli pakaian baharu selama lebih lapan tahun, dan tidak guna pakaian dalam baharu sejak tahun 1998, serta enggan menggunakan peralatan mandian.



"Saya rasa tidak berbaloi membeli peralatan mandian. Saya juga mengikuti rapat laman web yang memberikan barangan secara percuma kepada orang ramai," ujarnya.


Hashimoto mengatakan melalui laman web seperti itu, dia dapat mengumpulkan banyak barang keperluan dengan percuma termasuk ubat gigi, deodoran, pisau cukur dan produk kesihatan.


Lebih pelik, dia juga enggan membeli tisu tandas atau tisu muka kerana tidak mahu menghabiskan wang terhadap sesuatu barang yang akan dibuang. Sebagai gantinya, Hashimoto memilih mengitar semula tisu yang telah digunakannya di tandas awam menggunakan alat pengering tangan.


Selalunya, dia masuk ke tandas awam untuk mencuci badan menggunakan sabun dan sebotol air semburan. Dia juga menggunakan tandas awam untuk membasuh sendiri pakaian bagi menjimatkan wang sebanyak AS$3 (RM12) andai menggunakan mesin basuh di kedai dobi.


"Saya tidak mencuci pakaian di dobi. Anda harus mengeluarkan sejumlah kecil wang. Jadi, setiap kali ada pakaian kotor, saya cuci ketika mandi. Saya rasa, kali terakhir saya betul-betul cuci pakaian kira-kira tiga tahun lalu," katanya.


Dia menggunakan lebihan sabun mandi untuk membersihkan pakaian. Paling teruk, dia juga enggan mengeluarkan wang untuk membeli makanan buat diri sendiri. Malah, beliau cuma akan keluar makan bersama rakan sekirannya rakannya bersetuju untuk belanjanya.


"Saya menghabiskan sekitar AS$20 (RM83) hingga AS$25 (RM104) bagi membeli makanan setiap minggu. Jumlahnya secara bulanan hanyalah AS$100 (RM415)," katanya lagi.


Justeru itu, dia sanggup menyamar sebagai gelandangan pada sebelah malam untuk menyelongkar beg sampah di luar restoran atau pasar raya di kawasan kejiranan.


"Kedai-kedai ini sering membuang banyak makanan berkualiti tinggi termasuk makanan organik dan makanan siap dimasak. Saya hanya menggunakan makanan dari tong sampah yang masih berada di dalam bekas tertutup bagi mengelakkan termakan kotoran," terangnya.


Hashimoto menjelaskan, langkah penjimatan drastik dilakukan membolehkannya membelanjakan hanya AS$200 (RM829) setiap bulan berbanding kos sebenar sekitar AS$1,300 (RM5,385).


Wanita ini mendapatkan peralatan-peralatan untuk kegunaan di tempat tinggalnya daripada barang-barang yang dibuang jiran.

Hashimoto menyatakan adakalanya dia mampu menemui makanan yang agak mewah seperti anggur yang masih elok di dalam tong sampah.


EmoticonEmoticon