JAKARTA - Tiga penggali kubur yang sedang melakukan kerja penggalian sedalam dua meter di Kota Bima dekat Nusa Tenggara Barat, menemukan harta karun yang dikatakan peninggalan kerajaan purba.
Memetik laporan OkeNews pada 17 September 2021, ketiga-tiga mereka, Ibrahim, Ramli dan Robi Mas'ud menemukan harta karun berupa cincin emas, cincin perak, gelang dan anting-anting emas pada kedalaman dua meter.
Semua harta karun itu ditemukan secara tidak sengaja di kawasan tanah perkuburan Cuhi Pangga Pupa. Selain harta karun tersebut, mereka turut menemukan tengkorak di samping barang kemas itu.
Ketua Kebudayaan, Jabatan Pendidikan dan Kebudayaan Kota Bima, Munawar berkata, penemuan itu cukup mengagumkan dan akan menjalankan siasatan lanjut mengenainya.
Menurut beliau, penemuan itu bukan yang pertama kali berlaku. Sebelum ini, penduduk tempatan juga telah menemui mata tombak dan barang-barang lain. Malangnya, semua penemuan itu ada yang disimpan sendiri dan ada yang dijual kepada pihak lain.
Dalam penemuan baharu itu, Ibrahim menemukan dua cincin manakala Ramli pula memperoleh cincin dan anting-anting dan selebihnya diberikan kepada Robi. Munawar berkata, pihaknya mahu ketiga-tiga mereka menjual penemuan harta karun itu kepada kerajaan.
Kawasan tanah perkuburan itu disebut sebagai Cuhi Pangga Pupa. Menurut masyarakat, Cuhi adalah penguasa kawasan utara, maksudnya sebagai kawasan kerajaan lama sehingga objek arkeologi sering dijumpai.
EmoticonEmoticon