Dua anggota polis antara 14 individu ditahan ketika sedang leka berhibur dalam satu parti liar di sebuah residensi mewah di Changkat Raja Chulan, pada Sabtu lalu.
Serbuan telah dijalankan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur pada 9.30 malam selepas mendapat maklumat dan melakukan risikan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sahar Abd. Latif berkata, kesemua tangkapan terdiri daripada tujuh lelaki dan tujuh wanita tempatan berusia dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun.
Katanya, hasil pemeriksaan di premis tersebut, polis telah menjumpai dadah jenis Ketamin seberat 5.56 gram yang dianggarkan bernilai RM834.
"Penganjur parti liar berkenaan adalah seorang lelaki berusia 39 tahun dan alasan yang diberikan kerana menganjur parti liar tersebut adalah untuk bertemu kenalan serta berhibur.
"Pengunjung yang hadir dijemput melalui panggilan telefon oleh penganjur dan tiada sebarang bayaran dikenakan. Premis tersebut telah disewa oleh penganjur dengan harga RM220 sehari," katanya dalam satu kenyataan.
Sahar memberitahu, hasil semakan lanjut identiti pengunjung mendapati, dua antara yang ditahan adalah anggota polis berpangkat Lans Koperal dan Konstabel (sokongan) dari Cawangan Tugas Am.
Katanya, ujian saringan air kencing mendapati kesemua yang ditahan positif ketamin. Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.
Mereka juga dikenakan kompaun RM4,000 seorang mengikut Peraturan 17(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dengan jumlah keseluruhan kompaun sebanyak RM56,000.
EmoticonEmoticon