Seorang penangkap ular yang mengaku dirinya kebal daripada bisa reptilia itu maut selepas dipatuk seekor tedung hitam baru-baru ini, lapor akbar The Sun pada 14 September 2021.
Penjinak ular yang dikenali sebagai Pamma Ahirwar dipatuk tedung hitam di Kampung Jaitpur di Maharastra, utara India ketika cuba membawa ular itu 'bersiar-siar' selepas menangkapnya di rumah salah seorang penduduk di situ.
Ular tedung berwarna hitam itu memasuki rumah penduduk tempatan bernama Brajesh Rajak. Kehadiran reptilia berbisa tersebut telah mengejutkan Brajesh lalu memanggil Pamma untuk mengeluarkan haiwan itu dari dalam rumahnya.
Pamma yang mempunyai pengalaman 20 tahun mengendalikan ular berbisa pernah mendakwa dirinya kebal bisa ular apabila sudah beberapa kali dipatuk, namun bisa itu gagal memasuki sistem darahnya.
Pamma dirakam meletakkan tedung hitam di leher selepas berjaya menangkapnya dan berjalan mengelilingi kampung. Kejadian malang bermula apabila ular itu secara tiba-tiba membelit lengan kanan lalu mematuk tapak tangannya.
Pamma dilihat terus duduk mencangkung di atas tanah dan cuba menghisap bisa itu, lalu meludahnya keluar. Dia kemudiannya dibawa ke hospital berdekatan untuk menjalani rawatan lanjut.
Bagaimanapun Pamma gagal diselamatkan kerana bisa itu sudah merebak ke seluruh badan dan merosakkan organ-organ pentingnya. Dia disahkan mati akibat gigitan reptilia berbisa itu pada hari Ahad lalu.
EmoticonEmoticon