Isnin, 20 September 2021

Cinta Pandang Pertama, Remaja 19 Tahun Kahwini Lelaki 61 Tahun


Seorang remaja perempuan di Carson City, Nevada, Amerika Syarikat mengahwini seorang lelaki berusia 42 tahun lebih tua daripadanya, lapor akhbar metro UK pada 18 September 2021.


Anggota polis tentera, Audrey Cheyanne-Smiley Moon, 19, berkahwin dengan suaminya, Kevin, 61, dari Modesto, California yang dikenali melalui satu aplikasi pacaran pada Januari tahun lalu.


Biarpun memiliki perbezaan usia 42 tahun, Audrey berkata, dia tertarik dengan biodata Kevin dalam aplikasi itu yang mengatakan bahawa dia merupakan veteran yang pernah bekerja untuk polis tentera.


Selepas beberapa bulan berkenalan di alam maya, mereka berpacaran secara rasmi dan bertemu buat pertama kali pada Julai tahun lalu sebelum melangsungkan perkahwinan pada 1 Ogos lalu di Nevada.


"Saya teruja dan gementar untuk bertemu dengannya. Kevin memulakan langkah dalam memikat saya. Kami berdua bersetuju bahawa ini merupakan cinta pandang pertama," kata Audrey.


Audrey dan Kevin tidak pernah menjalin hubungan dengan perbezaan usia yang ketara sebelum ini, namun mereka percaya bahawa ia tidak membawa apa-apa makna memandangkan mereka berkongsi banyak persamaan.


Sebelum bertemu Audrey, Kevin pernah berkahwin dan mempunyai dua orang anak, berusia 16 dan 23 tahun. Anak-anaknya menyokong hubungan mereka dan turut gembira melihat betapa bahagia pasangan itu.


Memandangkan Kevin lebih berusia berbanding ibu bapa Audrey yang berusia 38 dan 43 tahun, dia pada mulanya merahsiakan hubungan mereka, namun akhirnya membuat keputusan untuk memberitahu keluarganya pada Ogos tahun lalu.


"Keluarga saya pada mulanya amat menentang hubungan ini dan apabila saya pulang ke rumah, saya terkejut melihat polis sedang menunggu di luar untuk menakutkan Kevin. Namun selepas keluarga saya mengenali Kevin, mereka mula menyukainya," kata Audrey.


Pasangan itu juga mahu menghilangkan stereotaip negatif mengenai jurang umur dan berkata, mahu menunjukkan kepada dunia bahawa hubungan mereka adalah atas dasar cinta sepenuhnya.


Audrey berkenalan dengan Kevin melalui satu aplikasi pacaran dan menyifatkan hubungan itu sebagai cinta pandang pertama. - Foto Jam Press.


EmoticonEmoticon