Khamis, 30 September 2021

Banjir Berwarna Merah Seakan 'Darah' Gemparkan Penduduk Kampung Seri Jaya Baru


Kejadian banjir kilat yang melanda Kampung Seri Jaya Baru, Tampoi di Johor Bahru, pagi ini bukan sahaja mengejutkan penduduk kerana air memasuki rumah mereka dengan cepat, namun turut digemparkan dengan aliran air berwarna merah.


Penduduk kampung Azmi Misri berusia 54 tahun berkata, fenomena banjir merah yang melanda di situ, selepas hujan lebat lebih tiga jam awal pagi tadi adalah kejadian pertama yang berlaku.


Beliau yang juga mantan Ketua Kampung Pasir berkata, ia menimbulkan kebimbangan penduduk apabila banjir kilat itu berbau seperti minyak, selain menyebabkan anggota badan menjadi gatal.


"Banjir kilat memang sering melanda kawasan ini apabila hujan lebat bertembung dengan air pasang, namun banjir merah pagi tadi tidak pernah berlaku. Saya dan penduduk di sini, percaya banjir merah ini berpunca dari kilang tekstil berhampiran yang sudah setahun tidak beroperasi.



"Ia berikutan bau minyak yang kuat dipercayai dari mesin dan bahan yang ditinggalkan di situ. Penduduk berharap perkara ini disiasat pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini kepada kesihatan penduduk," katanya.


Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kempas , Mohd Yazid Abdul Rahman, berkata air banjir kilat awal pagi tadi naik hingga ke paras satu meter, surut dalam kira-kira jam 8.30 pagi tadi.


Beliau berkata, pihaknya melakukan pemantauan di perkampungan berkenaan berikutan risau air banjir berwarna merah itu boleh menjejaskan kesihatan penduduk.


"Namun, air merah itu surut dalam tempoh beberapa jam dan tiada masalah lain yang timbul. Penduduk juga tidak dipindahkan ke kawasan lain dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.


Keadaan 'banjir merah' yang menggemparkan penduduk di Kampung Seri Jaya Baru, Tampoi di Johor Bahru.


EmoticonEmoticon