Ahad, 5 September 2021

Atlet Sumo Pencen Selepas Mengalami 104 Kekalahan Berturut-turut


Seorang atlet sumo di Jepun akhirnya mengambil keputusan untuk menamatkan kariernya selepas mengalami 104 kekalahan berturut-turut, lapor The Sankei News.


Shonanzakura, 23, membuat keputusan mengakhiri kariernya kerana mencatat rekod terburuk dalam sejarah sukan tradisi negara matahari terbit itu. Secara keseluruhan, dia merekodkan tiga kemenangan, satu seri dan 238 kekalahan.


Ketua sekolah sumo, Kitazakura, meluahkan rasa sedihnya atas pemergian Shonanzakura dari sukan ini. Katanya, tidak peduli berapa kali kalah kerana dia perlu bangkit dan menerima cabaran baharu.


"Dia mempunyai semangat yang luar biasa. Pada waktu pagi, dia selalu yang pertama bangun dari tempat tidur dan bersedia untuk berlatih di gelanggang latihan," kata Kitazakura.


Menerusi laporan Mothership, peminat ternyata kecewa dengan keputusan itu dan memuji kegigihan serta profesionalisme Shonanzakura.


Kata-kata semangat turut dilontarkan peminat sukan itu kepada Shonanzakura di media sosial di negara berkenaan. Ada yang mendoakan semoga atlet muda itu akan mendapat kehidupan yang lebih baik selepas ini.


Shonanzakura juga sudah mengadakan acara memotong rambut sebagai tanda penamatan kariernya dalam sukan itu. Sora News melaporkan, kali terakhir Shonanzakura meraih kemenangan adalah pada 21 Januari 2019.


Nikkan Sport pula melaporkan, dia sudah kembali ke rumah keluarganya di Kanagawa untuk memulakan hidup baru.


Shonanzakura akhirnya mengundur diri selepas 104 kali kalah dalam perlawanan sumo.


EmoticonEmoticon