Keinginan seorang wanita untuk membeli dua ekor kucing baka luar negara melalui urusniaga dalam talian akhirnya tidak kesampaian, apabila haiwan berkenaan tidak diterimanya setelah pembayaran dilakukan sehingga mencecah RM3,230.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula apabila mangsa yang berusia 24 tahun melihat iklan penjualan kucing baka British Short Hair di laman sosial Instagram kira-kira pukul 1.30 petang semalam.
Menurutnya, atas rasa ingin memilikinya, mangsa menghubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp dan menyatakan hajatnya membeli kucing terbabit. Suspek memaklumkan terdapat dua ekor kucing baka jenis itu yang akan dijual.
"Mangsa yang menghubungi penjual menggunakan WhatsApp dan mahu membeli dua ekor kucing baka British Short Hair dan British Long Hair telah bersetuju membelinya pada harga RM290 dan RM240.
"Selepas membuat pembayaran, mangsa diminta untuk membuat pembayaran lain untuk proses mendapatkan sijil kelahiran serta beberapa dokumen lain," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, mangsa telah membuat semua bayaran yang diminta berjumlah RM3,230 melalui empat transaksi ke akaun bank yang diberikan selain suspek berjanji akan memulangkan semula wang proses berkenaan.
Bagaimanapun, selepas mangsa membuat semua bayaran berkenaan, suspek menyalahkan mangsa kerana membuat pembayaran berjumlah RM1,900 dalam dua transaksi menyebabkan mangsa mula curiga dengan urusan berkenaan dan meminta wangnya dikembalikan.
Beliau berkata, mangsa mendakwa suspek berkeras tidak mahu memulangkan wang itu sehingga mangsa membuat pembayaran lagi, menyebabkan dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam, dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
"Jelas modus operandi suspek dalam memperdaya mangsa adalah dengan menawarkan kucing untuk dijual melalui media sosial. Tindakan itu telah mendorong mangsa memasukkan wang ke dalam akaun bank yang diberikan dan mangsa juga tidak memperoleh kucing malah mengalami kerugian wang," katanya.
EmoticonEmoticon