Aksi berani seorang pramugari tanpa rasa gentar berdiri di atas puncak bangunan tertinggi di dunia adalah sebahagian promosi yang dilakukan syarikat penerbangan milik Emiriah Arab Bersatu (UAE), Emirates Airlines selepas negara itu dimasukkan dalam senarai hijau United Kingdom (UK).
Memetik laporan Daily Mail pada 9 Ogos 2021, pramugari yang mengenakan pakaian seragam syarikat penerbangan Emirates Airlines itu sempat mengukir senyuman sambil berdiri atas platform kecil puncak menara Burj Khalifa yang setinggi 829.6 meter di Dubai.
Pramugari itu sebenarnya merupakan penerjun payung terjun (skydiver) dan personaliti media sosial, memegang beberapa plakad tertera 'UAE dimasukkan dalam senarai hijau UK membuatkan kami berasa seperti berada di puncak dunia.. Fly Emirates.. terbang lebih baik'.
Kemasukan warga Britain ke negara itu ditangguhkan sejak awal tahun ini telah dibuka kembali selepas Pejabat Luar UK mengeluarkan UAE dari senarai Merah dan memasukkan ia ke dalam senarai hijau pada Ahad.
Kelonggaran tersebut memberi laluan kepada pelancong yang menerima vaksin penuh Covid-19 dapat pulang dari negara itu tanpa perlu dikuarantin. Bagaimanapun, mereka mesti mengambil ujian saringan Covid-19 sebelum berlepas dan perlu mengambil ujian lanjutan pada hari ketibaan atau sebelum hari kedua mereka di Britain.
Emirates Airlines berkongsi video promosi itu yang dirakam menggunakan dron dan memaklumkan perjalanan ke UK kini menjadi mudah selepas 8 Ogos. Jurucakap syarikat penerbangan itu memberitahu Gulf Today, penggambaran di atas puncak menara itu sudah mendapat kebenaran dan dijayakan oleh beberapa organisasi tempatan.
'Pramugari' berkenaan, Nicole Smith Ludvik menyifatkan aksi tersebut adalah salah satu aksi paling menakjubkan dan menarik yang pernah dilakukannya. Rata-rata warga maya teruja dengan perkongsian video berkenaan dan meluahkan kekaguman terhadap aksi Ludvik beraksi di atas puncak bangunan 163 tingkat itu.
Walaupun video berkenaan hanya berdurasi 33 saat, namun proses pembikinannya bukan mudah. Ia dikongsikan menerusi video belakang tabir yang memaparkan pelbagai latihan perlu dilalui Ludvik sebelum penggambaran. Selain itu, aspek keselamatan turut menjadi keutamaan.
EmoticonEmoticon