Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim akan bertemu dengan Pengarah Pendidikan Johor dan kira-kira 779 guru yang menolak menerima vaksin Covid-19, bagi mencari penyelesaian isu itu.
Memetik laporan Harian Metro, Tunku Ismail menerusi dua ciapan di akaun Twitter baginda hari ini bertitah, pertemuan itu akan diadakan dalam masa terdekat.
Tunku Mahkota Johor membuat ciapan berkenaan apabila seorang netizen berkongsi laporan berita Harian Metro berkenaan seramai 779 guru di Johor menolak untuk menerima vaksin Covid-19.
Baginda bertitah, keutamaan negeri Johor adalah untuk mengatasi pandemik ini secepat mungkin supaya rakyat, negeri boleh kembali dan meneruskan kehidupan seperti biasa.
Hari ini, Pengerusi Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang, ketika menjawab soalan tambahan pada Persidangan Keempat DUN Johor yang ke-14, dilaporkan memaklumkan kira-kira 779 guru di negeri ini menolak untuk menerima vaksin Covid-19.
Mazlan dilaporkan berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan membantu memberi penerangan mengenai kebaikan vaksin supaya golongan guru terbabit akan menerima vaksin.
EmoticonEmoticon