Selasa, 17 Ogos 2021

Tisu Messi Guna Untuk Lap Air Mata Dijual RM4.24 Juta


Baru-baru ini, ketika sidang media perpisahan sebelum berpindah ke kelab Paris St Germain (PSG), Lionel Messi berkata Barcelona sudah menjadi sebahagian dalam kehidupannya.


Dia menyertai kelab itu sejak berusia 13 tahun dan sangat sedih untuk meninggalkan kelab yang disayanginya itu. Katanya, segala telah dilakukan untuk membolehkan dia terus kekal tetapi masalah kewangan menjadi penghalang kepada hasratnya itu.


Tidak dinafikan, situasi tersebut sangat dirasai bukan sahaja pada bekas pemain Kelab Barcelona tetapi peminat tegar dalam sukan bola sepak juga terasa dengan perpisahan tersebut. Messi mengesat air matanya menggunakan kertas tisu semasa rakaman siaran langsung majlis perpisahan tersebut.


Dipercayai tisu yang digunakan Messi itu dikutip oleh seseorang yang hadir pada majlis berkenaan dan dia kemudian menjualnya dengan harga AS$1 juta (RM4.24 juta) menerusi iklan dalam laman web popular.


Tidak pasti sama ada tisu itu adalah tisu yang betul digunakan oleh Messi di majlis tersebut. Dia mendakwa tisu terbabit mengandungi genetik Messi yang membolehkan seseorang menghasilkan pemain sehebat legenda Barca itu.


"Tisu ini mengandungi kandungan genetik Messi yang membolehkan anda mencipta klon pemain bola sepak sehebat beliau," tulis keterangan pada gambar tisu yang dijual.


Menurut lapor laman berita Gulf Today, tisu itu berjaya dijual pada seorang individu tidak dikenali. Sehingga kini, tiada maklumat lanjut tentang penjual dan pembeli tisu Messi itu, namun ia menjadi tular di media sosial sejak berita penjualannya diketahui peminat.



EmoticonEmoticon