Selasa, 24 Ogos 2021

Tumbuk muka dan mengejar jururawat sebelum cuba lari dari hospital


Tindakan seorang pesakit Covid-19 cuba melarikan diri dari Hospital Sungai Buloh semalam mengundang padah apabila mengalami kecederaan selepas terjatuh dari tingkat lima.


Memetik laporan Harian Metro, kejadian itu berlaku pada 3.20 petang semalam. Mangsa yang berusia 33 tahun dimasukkan di dalam wad hospital itu pada 3 pagi hari sama akibat positif Covid-19.


Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Shafa'aton Abu Bakar berkata, pesakit yang kelihatan murung itu cuba keluar dari wad sebelum bergelut dengan jururawat yang cuba menghalangnya.


"Pesakit lelaki itu bertindak agresif terhadap jururawat dengan menumbuk muka dan mengejar jururawat yang menghalangnya untuk keluar dari wad berkenaan. Dia turut mengganggu pesakit lain sebelum pergi ke tepi tingkap wad dan cuba terjun," katanya.


Beliau berkata, kejadian itu disedari staf lain hospital dan cuba menyelamatkannya, namun pesakit itu akhirnya terjatuh ke aras bawah hospital.


Menurutnya, mangsa kemudian dibawa ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk menerima rawatan lanjut kerana cedera di badan dan muka. Kes masih dalam siasatan polis untuk tindakan selanjutnya.


Lelaki positif Covid-19 tumbuk jururawat sebelum cuba lari dari hospital.


EmoticonEmoticon