Sebuah kedai menjual barangan terpakai di North Carolina, Amerika Syarikat (AS) memulangkan semula sijil perkahwinan berusia 146 tahun yang ditemukan di dalam sebuah bingkai lukisan yang dijual kepada premis tersebut.
Memetik laporan berita UPI pada 13 Ogos 2021, kedai bernama Hope Chest di Bolivia itu berjaya mengesan lokasi cucu sulung kepada pasangan sijil perkahwinan tersebut iaitu Irene Cornish, dan sijil itu diberikan kepadanya.
Seorang pekerja di Hope Chest, Pam Phelps berkata, dia menjumpai sijil perkahwinan itu ketika sedang membersihkan sebuah lukisan antik tahun 1889 yang memaparkan kanak-kanak kecil bersama anjing kesayangannya.
"Saya menemukan sehelai kertas tersembunyi di bahagian belakang bingkai lukisan itu. Kertas itu merupakan sijil perkahwinan pada tahun 1865 milik pasangan William dan Katey," katanya.
Jelas Phelps, penemuan itu juga mencetuskan pencarian ahli keluarga pasangan tersebut yang masih hidup. Sementara itu, Irene Cornish berkata, individu yang menonton berita WWAY-TV berhubung penemuan itu telah menghantar mesej kepadanya di platform Ancestry.com.
"Mereka mengesyaki pasangan yang dicari mungkin merupakan datuk dan nenek saya iaitu William dan Katherine DeWorth. Saya sebenarnya berada di platform itu untuk mencari maklumat mengenai ahli keluarga lain namun saya menerima mesej ini," katanya.
Jelas Cornish, dia tidak mengetahui bagaimana sijil perkahwinan itu boleh berada di kedai barangan terpakai di North Carolina.
"Saya hanya tahu bahawa kebanyakan barangan keluarga telah disumbangkan. Saya bercadang untuk membingkaikan sijil perkahwinan itu dan mungkin mempamerkannya di muzium," katanya.
EmoticonEmoticon