Ahad, 29 Ogos 2021

Saintis Yakin Hidupan Makhluk Asing Di Planet K2-18b Mungkin Ditemui Dalam 3 Tahun Lagi


Sekumpulan saintis meramalkan akan berjaya membuktikan kewujudan makhluk asing dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang. Hal ini berdasarkan penemuan gugusan planet baharu yang berpotensi dapat didiami, lapor Daily Star 26 Ogos 2021.


Ahli astronomi dari Universiti Cambridge, England melihat gugusan planet yang dipanggil hycean dan terletak dalam Galaksi Bima Sakti dan mengandaikan bahawa satu daripadanya mungkin mempunyai keadaan yang sesuai untuk dihuni makhluk asing.


Planet yang dikenali sebagai 'Neptuna mini' K2-18b itu dilitupi lautan serta mempunyai tahap haba dan hidrogen yang mencukupi untuk menampung kehidupan. Namun, selepas mendapati kadar metana dan amonia serta tanda-tanda wap air, saintis yakin planet K2-18 b itu menyimpan rahsia semesta.


'Neptuna mini' terletak 124 tahun cahaya dari Bumi dan memiliki saiz sehingga lapan kali ganda lebih besar berbanding Bumi, namun memiliki jarak yang cukup jauh daripada bintang paling hampir dengannya yang membolehkan ia mengekalkan kehidupan pintar.



Saintis, Dr. Nikku Madhusudhan dari Universiti Cambridge berkata, planet itu dapat membuka jalan baharu dalam mencari kehidupan di tempat lain. Jelasnya, pasukan penyelidik Britain berusaha mencari 'biosignature' pada molekul yang menjadi bukti kehidupan tersebut.


"Kami memfokuskan kepada planet yang menyerupai bumi kerana tempat paling sesuai untuk dimulakan pencarian. Jadi, planet Hycean menawarkan peluang yang lebih baik untuk mengesan beberapa jejak kehidupan.


"Ini akan mengubah pemahaman kita tentang kehidupan alam semesta. Kita harus bersikap terbuka dalam mencari makna kehidupan kerana alam akan terus mengejutkan kita dengan cara yang sering tidak dapat dibayangkan.


"Kami mengatakan bahawa dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi, kami akan mengesan biopenunjuk pertama sekiranya planet ini dihuni sesuatu yang hidup," katanya.


Penemuan itu secara besar-besaran dapat meningkatkan kemungkinan kehidupan berkembang di tempat lain dan boleh tersebar luas. Para saintis berharap dapat mencari makhluk asing itu dengan Teleskop Angkasa James Webb yang akan dilancarkan akhir tahun ini.


Beliau bagaimanapun berkata, perlu mendapatkan lebih banyak maklumat sebelum benar-benar yakin bahawa terdapat makhluk lain yang sama-sama menghuni semesta.


Gambar ilustrasi planet 'Neptuna mini' yang terletak 124 tahun cahaya dari Bumi. - Foto Getty Images.

Pusat Kajian Alien di Hiko, Nevada, AS. Foto AFP.


EmoticonEmoticon