Para saintis memaklumkan pada Rabu lalu bahawa mereka telah menemukan fosil ikan paus berkaki empat berusia 43 juta tahun di Mesir, dipercayai spesies amfibia, lapor akhbar New York Post pada 26 Ogos 2021.
Penemuan itu menunjukkan fosil tersebut dari kumpulan paus yang sudah pupus ketika proses evolusi haiwan itu dari hidupan di darat ke laut. Fosil itu dianggarkan mempunyai badan sepanjang tiga meter dan berat 600 kilogram.
Ketua penyelidik Mesir dalam satu kenyataan berkata, penemuan baharu itu adalah milik Protoceditae iaitu sejenis ikan paus yang telah lama pupus dan berada di tengah-tengah peralihan itu.
Fosil haiwan unik tersebut ditemukan di celah batuan Eocene di kawasan yang dinamakan Fayum Depression di sebuah gurun barat Mesir yang sebelum ini dipercayai merupakan lautan.
Kawasan tersebut satu ketika dahulu pernah diliputi laut yang memberikan banyak penemuan berhubung evolusi ikan paus sebelum dikaji di Pusat Palentologi Vertebrata, Universiti Mansoura (MUVP).
Spesies paus juga dikatakan mungkin merupakan haiwan pemangsa teratas. Sebahagian rangkanya mendedahkan haiwan itu mungkin merupakan paus protocetid paling primitif yang diketahui dari Afrika.
"Phiomicetus anubis merupakan kunci kepada spesies ikan paus dan merupakan penemuan penting bagi paleontologi Mesir dan Afrika," kata penulis utama penemuan itu yang diterbitkan dalam jurnal Proceedings of The Royal Society B. Abdullah Gohar.
Nama paus itu diambil bersempena nama Fayum Depression manakala nama spesiesnya pula merujuk kepada Anubis yang merupakan seorang dewa Mesir yang dikaitkan dengan mumia dan kehidupan selepas mati.
Di sebalik penemuan fosil tersebut, evolusi paus di Afrika masih lagi misteri dan para saintis akan terus mengkaji bagaimana haiwan amfibia itu boleh bertukar sepenuhnya menjadi haiwan akuatik.
EmoticonEmoticon