Isnin, 9 Ogos 2021

Penyanyi Siti Sarah Meninggal Dunia Akibat Covid-19


Penyanyi Siti Sarah, 37, disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM), selepas bertarung nyawa akibat Covid-19.


Penyanyi itu menghembuskan nafas terakhir jam 5.13 pagi, selepas ditidurkan pada 4 Ogos lalu. Lebih menyedihkan, Sarah meninggal dunia tanpa sempat menatap wajah bayi lelaki dikandungnya yang selamat dikeluarkan secara pembedahan pada Jumaat lalu.


Terdahulu, Siti Sarah dimasukkan ke hospital itu pada Rabu lalu selepas mengalami batuk teruk dan tahap oksigen menurun akibat jangkitan Covid-19. Siti Sarah yang hamil tujuh bulan ketika itu kemudiannya ditidurkan sebelum pembedahan dijalankan bagi mengeluarkan bayi dalam kandungan.



Siti Sarah selamat melahirkan bayi lelaki diberi nama Ayash Affan. Sarah dan Shuib sekeluarga disahkan Covid-19 sejak 27 Julai lalu, selepas mereka sekeluarga menjalani ujian saringan selepas pembantu rumah disahkan positif virus terbabit.


Pasangan itu berkahwin pada 26 Februari 2011. Hasil perkahwinan, pasangan ini juga mempunyai tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6.


Sementara itu, jenazah Siti Sarah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, di sini, kira-kira jam 12 tengah hari, hari ini. 


Shuib berkata, dia bersyukur apabila Allahyarham isterinya diberi peluang untuk dikebumikan di tanah perkuburan yang sama dengan ibunya. Urusan tayamum dan solat jenazah akan diuruskan pihak hospital.


"Pada awalnya saya tak pasti sama ada urusan pengebumian dapat dibuat di lokasi sama arwah ibunya. Namun, sebaik tiba di sini saya bersyukur pihak hospital membenarkan jenazah isteri dikebumikan di sana. Entah kenapa saya terasa lokasi itu adalah tempat terbaik untuk arwah isteri saya," katanya.


EmoticonEmoticon