Selasa, 24 Ogos 2021

Pembaca Meter TNB Cedera Digigit Anjing Ketika Bertugas


Seorang pembaca meter elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) cedera di tangan kanannya akibat digigit seekor anjing ketika menjalankan tugas di Jalan Api-Api 1, Taman Megah Ria, Johor Bahru, Johor, kelmarin (Ahad).


Dalam kejadian itu, mangsa, Mohd. Faridzuan Nordin, 27, dikatakan telah diterkam oleh anjing yang meluru keluar dari sebuah rumah di taman perumahan itu apabila pintu pagar kecil dibuka.


Difahamkan, pintu pagar kecil itu dibuka oleh cucu pemilik rumah tersebut. Menerusi perkongsian yang tular di media sosial semalam, mangsa dan anak pemilik anjing kemudian dilaporkan bergelut dengan anjing berkenaan beberapa minit sebelum haiwan itu melepaskan gigitan.


Mangsa yang kesakitan dan terkejut kemudiannya dilaporkan meminta bantuan di aplikasi WhatsApp dengan menghantar gambar digigit anjing pada 12.15 tengah hari.


Susulan itu, beberapa orang rakan sekerja berhampiran segera datang ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan kepada mangsa dan membawanya ke klinik untuk mendapatkan suntikan dan rawatan susulan.


Mangsa bagaimanapun dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk membuat pemeriksaan dan rawatan lanjut. Insiden digigit anjing itu menyebabkan mangsa mengalami luka akibat gigitan di lengan kanan yang agak serius, ibu jari tangan kiri dan calar-calar di bahagian kaki kiri.


Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan telah menerima laporan yang dibuat mangsa pada hari sama kejadian berlaku.


"Mangsa bagaimanapun secara sukarela menarik balik laporan itu setelah perbincangan dibuat oleh kedua-dua belah pihak. Kes telah diselesaikan dengan baik," jelas beliau.


Seorang pembaca meter TNB cedera selepas digigit anjing dalam kejadian di Taman Megah Ria, Johor Bahru, Johor.


EmoticonEmoticon