Tular di internet beberapa klip video memaparkan sebuah objek dipercayai meteor berwarna hijau jatuh di bandar Izmir, Turki, mencetuskan spekulasi mengenai satelit terhempas atau objek terbang tidak dikenali (UFO).
Menurut lapor akhbar The Sun 3 Ogos 2021, insiden yang berlaku di bandar Izimir di Aegean itu berjaya dirakamkan melalui video pada pukul 2 pagi (waktu tenpatan), kelmarin.
Menerusi beberapa klip video, objek berwarna hijau itu dilihat menghilang di belakang bukit, tetapi rakaman lain menunjukkan objek tersebut dilihat meluncur dengan laju di langit sebelum mengeluarkan kilauan cahaya hijau yang terang kemudian seolah-olah kelihatan terhempas ke bumi.
Kejadian luar biasa itu dikongsi pengguna media sosial yang membawa kepada pelbagai spekulasi bahawa objek tersebut berkemungkinan adalah sampah angkasa lepas, serpihan satelit dan ada yang mempercayai ia adalah kemunculan UFO.
Menurut saksi, kedengaran bunyi letupan kuat ketika objek tersebut terhempas ke Bumi yang berkemungkinan disebabkan rosak atau pelanggaran dengan atmosfera. "UFO telah dilihat di langit 'PrayforTurkey'," tulis seorang netizen di sosial media.
Spekulasi itu bagaimanapun ditepis seorang profesor astrofizik, Dr. Hasan Ali Dal, yang menjelaskan bahawa insiden tersebut dikenali sebagai 'bebola api' dan berlaku apabila meteor mula terbakar dalam udara.
"Kebiasaannya, ia terbakar di bahagian atas atmosfera, menyebabkan batu angkasa akan hancur sebelum sampai ke tanah dan proses itu boleh kedengaran seperti bunyi letupan.
"Ia boleh dianggap sebagai fenomena yang lebih dikenali ramai sebagai tahi bintang dan kebiasaannya berlaku ketika tempoh masa hujan meteorit," jelasnya.
Ketika ini, Bumi sedang mengalami kejadian hujan meteor Perseid yang kebiasannya berlaku sepanjang bulan Julai dan Ogos setiap tahun.
BACA: Gambar meteor memancarkan cahaya hijau dirakam secara tidak sengaja muncul di langit India.
EmoticonEmoticon