Sabtu, 7 Ogos 2021

Lelaki Yang Disangka Maut Dalam Nahas Pesawat 45 Tahun Lalu Kembali Ke Pangkuan Keluarga


Seorang lelaki di India yang disangka maut dalam satu nahas kapal terbang, kembali semula ke pangkuan keluarga 45 tahun kemudian. Sajjad Thangal, 70, disangka terkorban oleh ahli keluarganya selepas pesawat yang dinaikinya terhempas pada 1976.


Menurut Hindustan Times, kepulangan Sajjad membuatkan ibunya yang berusia 91 tahun teruja setelah mengetahui berita mengenai anaknya yang masih hidup. Kepulangan lelaki itu disambut ahli keluarga, penduduk kampung, rakan dan pemimpin setempat.


Nahas tragis itu mengorbankan 95 nyawa termasuk pelakon terkenal India, Rani Chandra setelah pesawat Indian Airlines terhempas pada 1976. Sajjad berusia 25 tahun ketika kejadian bekerja dengan Rani untuk menguruskan program kebudayaan di sekitar negara Teluk.


Pemimpin sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di Mumbai, K M Philip berkata, sebelum kejadian Sajjad bercadang untuk menaiki pesawat berkenaan dari Abu Dhabi pada 12 Oktober 1976, tetapi terdapat perubahan di saat akhir yang menyelamatkan nyawanya.



Philip berkata, kejadian itu memberi kesan mendalam kepada Sajjad selepas dia kehilangan ramai rakan rapat. Lelaki itu dikatakan mengalami masalah mental yang serius sehingga memaksa dia mendapatkan rawatan.


Katanya, selepas kejadian berkenaan, dia menetap di Mumbai namun dia dibawa mendapatkan rawatan di rumah kebajikan kerana trauma dialaminya. Siasatan latar belakang keluarganya dilakukan dan pihak rumah jagaan mendapati ibunya Fathima Beevi masih hidup.


Akhirnya, Sajjad dipertemukan dengan ibunya menerusi panggilan telefon sebelum dibawa ke kampung halamannya di Sathamkotta. Keluarga Sajjad menyangka dan menganggap Sajjad sudah meninggal dunia walaupun tidak menjumpai namanya di senarai penumpang yang terlibat nahas tersebut.


Sajjad Thangal (tengah) disambut ahli keluarga, rakan dan penduduk kampung. Foto Agensi.


EmoticonEmoticon