Gambar hiasan.
BINTULU - Seorang lelaki meninggal dunia gara-gara terkena taji ayam laga sendiri ketika melakukan aktiviti sabung ayam di kebun kelapa sawit di kawasan Batu 21, Jalan Bintulu-Miri, semalam.
Memetik laporan Harian Metro, hari ini, dalam insiden kira- kira jam 2.30 petang itu, mangsa lelaki tempatan berusia 42 tahun itu sedang mengikat taji pada bahagian kaki ayam sabung miliknya untuk tujuan bersabung.
Namun, sebaik melepaskan ayam sabung terbabit, ia meluru ke arah mangsa lalu mencederakan pehanya. Mangsa yang cedera parah kemudiannya dihantar ke Hospital Bintulu sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 7.29 malam akibat mengalami pendarahan yang banyak.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, polis mengklasifikasikan kes ini sebagai kes mati mengejut (SDR). Sehubungan itu, polis menahan enam lelaki tempatan berusia antara 31 hingga 53 tahun pada jam 1.30 tengah hari tadi.
Menurutnya, mereka dipercayai terbabit dalam aktiviti sabung ayam itu ditahan bagi membantu siasatan dan akan mendapatkan perintah reman di Mahkamah Majistret Bintulu esok bagi membantu siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, seksyen 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan Penganiayaan Terhadap Haiwan 1952 dan Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara) 2021," katanya.
Beliau berkata, bagi kesalahan sabung ayam, kesemua suspek berhadapan dengan hukuman penjara tiga bulan atau denda sebanyak RM1,000. Kesalahan cuai pula iaitu dengan sengaja merebakkan apa-apa jangkitan penyakit yang berbahaya kepada nyawa boleh dihukum penjara enam bulan atau denda atau keduanya.
"Manakala perbuatan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua suspek berhadapan dengan kompaun tidak lebih RM50,000 jika disabit salah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
EmoticonEmoticon