Ahad, 15 Ogos 2021

Lelaki Jumpa Wang RM400,996 Disembunyikan Di Bawah Peti Sejuk Terpakai Yang Dibelinya Secara Online


Seorang lelaki di Korea Selatan terkejut selepas menemukan wang tunai bernilai 110 juta won (RM400,996) disembunyikan di bawah peti sejuk terpakai yang dibelinya secara dalam talian.


Menurut laporan agensi Korea Selatan, MBC News, lelaki itu menjumpai kira-kira 2,200 keping wang kertas ketika sedang membersihkan lantas. Sejurus selepas penemuan itu, lelaki tersebut terus pergi ke balai polis untuk membuat laporan pada 6 Ogos lalu.


Memetik laporan portal UPI, polis di Pulau Jeju berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan untuk menentukan sumber wang tersebut. Buat sementara waktu kesemua wang itu disimpan oleh pihak berkuasa.



"Lelaki itu menemukan bungkusan wang tersebut dilekatkan di bahagian bawah peti sejuk ketika sedang membersihkannya.


"Kami sedang mengenal pasti penjual peti sejuk itu dan sedang menyiasat individu yang terlibat dalam penghantaran peralatan itu," kata polis penyiasat.


Berdasarkan Akta Hilang dan Jumpa Korea Selatan, wang tersebut akan diberikan kepada individu yang menemukannya sekiranya pemilik sebenar gagal dikesan atau tidak muncul dalam tempoh enam bulan.


Walau bagaimanapun, pihak yang memperolehi mesti membayar 22 peratus cukai daripada jumlah wang berkenaan. Sekiranya pemilik wang dapat dikesan, pihak yang menjumpainya akan diberi pampasan antara lima hingga 20 peratus.


Namun, sekiranya wang tersebut didakwa mempunyai kaitan dengan jenayah, wang tersebut akan diserahkan kepada dana negara.


Seorang lelaki menemukan wang tunai bernilai RM400,996 di bawah peti sejuk terpakai yang dibeli dalam talian.


EmoticonEmoticon