Seorang lelaki di Hong Kong ditahan polis selepas didakwa melakukan perbuatan khianat ke atas haiwan apabila dia dilihat membunuh tiga ekor siput babi menggunakan taburan garam, lapor portal Coconut, semalam.
Menerusi kejadian yang dilaporkan berlaku di sebuah kolam air pancut di Tsim Sha Tsui pada 4 Ogos lalu, suspek dikatakan menaburkan garam ke atas siput babi berkenaan.
Apabila perbuatannya dihalang, suspek berkata kewujudan siput babi adalah ancaman pada keseimbangan ekosistem alam semulajadi. Menabur garam pada siput boleh membunuh haiwan tersebut kerana mineral itu akan menyerap kelembapan melalui proses osmosis.
Cara itu adalah salah satu teknik berkebun yang terkenal untuk mengawal populasi siput babi, namun ianya dilihat sebagai kejam kerana akan menyebabkan kesakitan yang melampau terhadap haiwan terbabit.
Susulan laporan orang ramai, polis menahan suspek berusia 26 tahun yang merupakan pelajar doktor falsafah jurusan sains komputer dan merampas pakaian yang dipakai ketika melakukan jenayah tersebut.
Lelaki itu kini berdepan kemungkinan hukuman denda sehingga HK$200,000 (RM109,012) dan tiga tahun penjara di bawa kesalahan penganiayaan ke atas haiwan.
EmoticonEmoticon