Sabtu, 21 Ogos 2021

Kawanan lembu tidak bertuan bertindak agresif 'tawan' pantai Perancis


Beberapa pantai di Lozzi, Perancis terpaksa ditutup apabila ia ditawan oleh kawanan lembu 'jahat' yang bertindak menghalau semua pengunjung di situ, lapor akhbar Daily Star pada 19 Ogos 2021.


Populasi lembu tidak bertuan yang kini mencecah 15,000 ekor menjadi masalah buat penduduk setempat apabila haiwan itu mula menguasai kebanyakan lokasi di wilayah tersebut.


Sejak akhir-akhir ini, berlaku beberapa insiden pengunjung pantai diserang oleh lembu yang tidak suka untuk berkongsi kawasan pinggir pantai dengan manusia.


Memetik laporan The Times, seorang lelaki dihantar ke hospital setelah diserang kawanan lembu terbabit, lelaki itu dilaporkan cedera di leher tertusuk tanduk tajam seekor lembu.



Minggu lalu, sekumpulan lembu yang tidak terkawal mengejar pelancong yang melalui jalan raya yang popular di salah satu bandar yang paling banyak dikunjungi di wilayah tersebut.


Datuk bandar Lozzi, Francois Acquaviva memberitahu akhbar tempatan Corse-Matin bahawa masalah tersebut adalah serius dan bukan sekadar satu perkara yang melucukan.


"Ada kes di mana seorang wanita itu ditanduk oleh lembu hingga mengalami kecederaan serius pada kakinya. Jika situasi ini berlanjutan, saya pasti akan ada kes kematian akibat diserang kawanan lembu liar," jelasnya.


Sebilangan penduduk tempatan menyalahkan dasar pertanian Kesatuan Eropah (EU) yang mendorong petani baru untuk membeli lembu.


Namun begitu, apabila peraturan semasa diubah, lembu itu banyak dibebaskan daripada pemilikan dan dibiarkan berkeliaran bebas tanpa pemantauan.


Lembu liar di Lozzi, Perancis tidak suka berkongsi pantai dengan manusia dan sering bertindak mengejar mereka keluar. - Foto Getty Images.


EmoticonEmoticon