Ahad, 8 Ogos 2021

Jaguh Berbasikal Negara Raih Pingat Perak Di Olimpik Tokyo


Jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang menepati sasaran apabila menghadiahkan pingat untuk Malaysia menerusi kilauan perak dalam acara keirin di Sukan Olimpik 2020, sebentar tadi.


Saingan di Velodrom Izu, Shizuoka menyaksikan Jason Kenny mempertahankan emas selepas bijak menggunakan teknik senko iaitu serangan awal. Manakala, pingat gangsa diraih pemenang dua emas Olimpik Tokyo, Harrie Lavreysen dari Belanda selepas ketinggalan 0.773s di belakang Kenny.


Biarpun pelumba Great Britain itu melebarkan jarak dalam saingan tersebut, namun Azizulhasni yang juga Raja Keirin 2017 berupaya mendekatinya dan menamatkan saingan 0.763 saat di belakang Kenny.



Ketika penyampaian pingat kepada pemenang, Azizul yang meraih pingat perak, secara spontan mengajak pemenang pingat gangsa Harrie Lavreysen dari Belanda untuk mengangkat Kenny yang berjaya mempertahankan pingat emas dimenanginya di Rio 2016.


Pengulas stesen televisyen antarabangsa turut memuji tindakan dua pelumba itu yang mempamerkan semangat kesukanan dan setiakawan tidak kira di dalam mahupun di luar gelanggang perlumbaan.


Pelumba bergelar The Pocket Rocketman itu memperbaiki catatan peribadi pada temasya Olimpik selepas menduduki tangga ke-10 di Beijing 2008, keenam di London 2012 dan gangsa di Rio 2016 dalam acara kegemarannya keirin.


Tamatnya aksi keirin sebentar tadi bermakna, Malaysia masih belum berjaya membawa pulang emas yang dinanti-nantikan di pentas Olimpik. Malaysia menutup tirai Olimpik Tokyo dengan 1 perak selain 1 gangsa, yang diraih menerusi beregu lelaki badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.


Jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang (dua dari kiri) meraih pingat perak dalam acara keirin di Sukan Olimpik kali ini. - Foto AFP.


EmoticonEmoticon