Khamis, 26 Ogos 2021

Hujan Di Puncak Greenland Petanda Kurang Baik, Bandar-Bandar Pinggir Pantai Akan Tenggelam


Sebilangan saintis meyuarakan kebimbangan terhadap fenomena hujan di puncak tertinggi litupan ais di Greenland, kerana mencetuskan petanda lapisan ais mencair pada kadar yang pantas. Perkara itu didedahkan oleh sekumpulan saintis pada Jumaat (20/8/2021), lapor Reuters.


Lapisan ais kedua terbesar dunia selepas Antartika itu mengalami hujan selama beberapa jam pada 14 Ogos lepas, di puncak tertingginya setinggi 3,216 meter. Kejadian itu dijangka terus berlaku, seiring peningkatan suhu global.


Secara keseluruhan, sebanyak tujuh bilion tan hujan turun di seluruh Greenland bagi tempoh tiga hari bermula dari 14 Ogos lepas, yang merupakan rekod tertinggi dicatatkan sejak 1950.



Pakar glasiologi Pemantauan Bumi Lamont-Doherty dari Universiti Columbia, Indrani Das berkata, ia bukan satu petanda yang baik untuk lapisan ais. Air pada permukaan ais adalah tidak bagus, kerana menjadikan lapisan ais lebih terdedah terhadap pencairan permukaan.


Bukan sahaja air lebih hangat berbanding salji, ia juga kelihatan lebih gelap, maka ia menyerap lebih banyak cahaya matahari berbanding memantulkannya kembali. Kesan ais yang mencair itu akan mengalir ke laut, seterusnya mengakibatkan paras air laut meningkat.


Sementara itu, menurut laporan laman berita The Guardian, paras laut global boleh meningkat sebanyak kira-kira enam meter sekiranya semua ais di Greenland cair, meskipun proses itu akan mengambil masa selama beratus-ratus tahun untuk berlaku.


Keadaan itu boleh menenggelamkan bandar-bandar pinggir pantai seperti Mumbai, New York dan Amsterdam. Sejak tahun 1994, beberapa trilion tan ais telah hilang dari Greenland sekali gus meningkatkan paras laut. 


Pada Julai lalu, pencairan ais besar di Greenland sudah cukup untuk meningkatkan paras air seluruh negeri Florida sehingga 5 sentimeter. Baca juga: Lapisan Ais Greenland Mencair Kira-Kira 8 Bilion Tan Sehari Kesan Gelombang Panas.


Kesan ais yang mencair itu akan mengalir ke laut, seterusnya mengakibatkan paras air laut meningkat. - Foto Reuters.

Ais yang mencair mengalir di sepanjang lapisan ais Greenland pada tahun 2007. - Foto CNN.


EmoticonEmoticon