Sabtu, 14 Ogos 2021

Helikopter buatan sendiri 'makan' tuan, kipas patah terkena leher


Terinspirasi untuk mencipta helikopter sendiri menjadi impian seorang lelaki di Mahagoan, India selepas menonton filem popular 3 Idiots. Namun hasratnya itu musnah apabila dia maut selepas terkena bilah kipas helikopter ciptaannya ketika sesi ujian.


Menurut lapor Times of India pada 12 Ogos 2021, Sheikh Ismail Sheikh Ibrahim, 24, seorang penduduk kampung yang tidak menamatkan persekolahannya. Bagaimanapun, dia mempunyai impian mencipta sesuatu yang luar biasa untuk membanggakan keluarga dan kampungnya.


Dari itu, Sheikh Ismail mencipta 'Munna Helicopter' yang dibuat daripada besi sebagai prototaip. Rakannya, Sachin memaklumkan Times of India bahawa Sheikh Ismail mula mengumpul maklumat reka bentuk sesuai untuk helikopternya sejak dua tahun lalu.


"Setelah mengumpulkan maklumat mengenai reka bentuk dan cara pemasangan dengan menonton video YouTube, dia mula mengerjakan projek impiannya. Memerlukan hampir dua tahun untuk Sheikh Ismail mengumpulkan semua bahagian yang diperlukan.


"Dia juga membuat prototaip helikopter satu tempat duduk dengan mengimpal paip keluli dan memasang mesin Maruti 800 untuk menggerakkannya," kata Sachin.



Sheikh Ismail berhasrat untuk memperkenalkan helikopter ciptaannya pada sambutan Hari Kemerdekaan tidak lama lagi. Dia kemudian ada menjemput beberapa rakannya untuk melihat prototaip helikopter berkenaan pada 10 Ogos lalu.


Ramai rakannya teruja dan pergi ke sebuah lokasi di kampung berkenaan untuk melihat hasil ciptaan Sheikh Ismail itu. Sebaik semua sudah berkumpul, Sheikh Ismail mula menghidupkan enjin helikopter berkenaan sebelum rotor helikopter mula berpusing dengan laju.


Tidak lama selepas itu, rotor di bahagian ekor helikopter tercabut dan terpelanting serta terkena bilah kipas utama. Keadaan menjadi cemas apabila bilah berkenaan terpelanting dan terkena leher Sheikh Ismail.


Menurut rakannya, helikopter berkenaan sempat naik pada ketinggian 1.5 meter sebelum ini dengan Sheikh Ismail lengkap memakai topi keledar. Namun, pada malam kejadian dia tidak memakai peralatan keselamatan dan meragut nyawanya.




EmoticonEmoticon