Mengembara ke angkasa lepas kini bukan sesuatu yang mustahil. Sejak zaman dahulu lagi penerokaan ruang cakerawala sentiasa menarik minat manusia, tidak kira untuk penyelidikan, melancong atau mungkin mencari habitat baharu untuk didiami.
Tidak hairanlah firma antarabangsa kini berlumba-lumba menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada individu berkemampuan yang mahu merasai pengalaman melancong ke angkasa lepas dengan menaiki pesawat komersial berkelajuan seperti roket.
Baru-baru ini, syarikat penerbangan Virgin Galactic mengumumkan pada Khamis (5 Ogos 2021) bahawa ia menetapkan harga tiket kepada sesiapa yang berkemampuan ke angkasa lepas pada harga AS$450,000 (RM1.8 juta).
Harga itu adalah dua kali ganda berbanding AS$200,000 (RM843,700) hingga AS$250,000 (RM1.05 juta) yang dibayar oleh kira-kira 600 orang bagi menempah kerusi penerbangan tersebut antara tahun 2005 dan 2014 sebelum ini.
Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Michael Colglazier dalam satu kenyataan berkata, pihaknya gembira mahu membuka pintu kepada industri dan pengalaman baharu kepada para pengguna.
Pada 11 Julai lalu, pemilik syarikat Virgin Galactic yang juga seorang bilionair, Richard Branson berjaya terbang ke angkasa lepas selama beberapa minit dengan menaiki sebuah kapal angkasa buatan syarikatnya sendiri.
Beliau yang berumur 70 tahun menaiki penerbangan itu bersama dua juruterbang dan tiga lagi penumpang dengan menaiki kapal angkasa VSS Unity dari sebuah gurun di Amerika Syarikat (AS).
Sembilan hari kemudian, bilionair paling kaya di dunia, Jeff Bezos juga berjaya pergi ke angkasa lepas dengan menaiki roket buatan syarikatnya sendiri bersama adiknya, bekas juruterbang wanita, Wally Funk berusia 82 tahun dan seorang remaja berumur 18 tahun.
EmoticonEmoticon