Ahad, 15 Ogos 2021

Datuk Bandar Tiba-Tiba Bertindak Gigit Pingat Emas Atlet Jepun Dikecam


Pingat emas Olimpik yang dimenangi oleh seorang atlet Jepun akan digantikan dengan yang baharu selepas Datuk Bandar Nagoya bertindak menggigit pingat berkenaan, lapor CNN Sports pada 13 Ogos 2021.


Takashi Kawamura, mencetuskan kemarahan warga maya selepas tindakannya membuka pelitup muka yang dipakainya dan menggigit pingat emas milik atlet sofbol, Miu Goto pada satu majlis meraikan kemenangan Jepun ke atas Amerika Syarikat (AS).


Dia didakwa mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dan tidak mempunyai rasa hormat. Pegawai Olimpik berkata, mereka akan menggantikan pingat emas Miu selepas Datuk Bandar itu meminta maaf dan membayar kos penggantian pingat berkenaan.


Pun begitu, pengguna media sosial yang mengecam tindakan Datuk Bandar itu berkata, ia menjijikkan dan tidak sopan terhadap atlet berkenaan. Selain itu, ada di antara mereka yang menggesa agar Kawamura meletak jawatan.


"Selain menunjukkan kurang rasa hormat kepada atlet, kelakuannya menggigit itu boleh menyebabkan penyebaran jangkitan. Maaf, saya tidak dapat memahaminya," kata pemenang pingat perak lawan pedang, Yuki Ota di Twitter.


Datuk Bandar berusia 72 tahun itu kemudian mengemukakan permohonan maaf kerana kelakuannya itu yang menerima lebih 8,000 aduan di bandar berkenaan.


"Saya lupa kedudukan saya sebagai Datuk Bandar Nagoya dan bertindak dengan tidak sepatutnya," katanya sambil menambah akan membayar kos penggantian pingat berkenaan.


EmoticonEmoticon