Seorang pemuda cuba membunuh diri dipercayai akibat putus cinta dalam kejadian di jejambat Bukit Jelutong Lebuh Raya Guthrie di Shah Alam, pagi tadi.
Bagaimanapun, tindakan lelaki tempatan berusia 20-an itu berjaya dihalang pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, enam anggota termasuk pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 11.38 pagi.
Katanya, pihaknya yang tiba dua minit kemudian mendapati lelaki berusia 20an itu berada di atas jejambat yang berketinggian kira-kira 10 meter.
"Usaha memujuk dilakukan dengan polis mengawal lalu lintas di bahagian bawah selain menyediakan sebuah lori kontena berhampiran pemuda itu.
"Kita mengambil masa sepuluh minit dalam pujukan sebelum lelaki itu kemudiannya turun pada lori kontena tersebut," katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas beliau, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
EmoticonEmoticon