Ahad, 29 Ogos 2021

Budak Maut Akibat Parasit 'Pemakan Otak' Dijangkiti Ketika Berenang Di Tasik


Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut selepas dijangkiti parasit 'pemakan otak' yang sangat jarang berlaku ketika berenang di sebuah tasik di California Utara bulan lalu, lapor 7 News pada 16 Ogos 2021.


David Pruitt dari Tehama County meninggal akibat primary amoebic meningoencephalitis (PAM) yang merosakkan otaknya pada 7 Ogos lalu, menurut ibu saudaranya Crystal Hayley pada hari Jumaat lalu.


Kata Hayley, dia dikejarkan ke Pusat Perubatan UC Davis pada 30 Julai dan disahkan meninggal. Jangkitan daripada parasit bawaan air itu sangat jarang berlaku dan hanya 10 kes dilaporkan di California sejak 1971, menurut Agensi Perkhidmatan Kesihatan Tehama County.


Brain-eating amoeba infection Naegleria fowleri. 3D illustration. - Foto Getty Images.

Laporan turut menyebut David dikatakan dijangkiti ketika berenang di tasik di Tehama County namun tidak dinyatakan di mana lokasi itu. Ibu bapa kanak-kanak malang berkenaan menolak permintaan untuk ditemubual media namun mereka mahu masyarakat berwaspada mengenai parasit ini dan tanda-tandanya.


Menurut Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), parasit yang dikenali Naegleria fowleri biasanya menjangkiti manusia ketika air yang tercemar memasuki tubuh mereka melalui hidung.


Ia biasanya berlaku ketika seseorang berenang atau menyelam di tempat air tawar yang hangat seperti tasik dan sungai. Mereka akan dijangkiti apabila air yang belum dirawat itu memasuki badan melalui hidung dan terus ke otak.


Pada peringkat pertama jangkitan, pesakit akan mengalami sakit kepala yang teruk, demam, mual dan muntah. Apabila jangkitan bertambah buruk, mereka akan mengalami kekejangan leher dan sawan serta halusinasi.


David Pruitt meninggal akibat 'primary amoebic meningoencephalitis' (PAM). - Foto GoFundMe.


EmoticonEmoticon