Disangka ular rupanya ketam nipah. Itu yang ditemukan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar selepas menjalankan pemeriksaan di sebuah rumah di Alor Janggus, pada khamis lalu apabila menerima panggilan kecemasan khidmat khas ancaman ular.
Ketua BBP Alor Setar, Ahmad Naufal Abdullah berkata, pada jam 10.02 pagi, pihaknya menerima panggilan kecemasan ancaman ular. Sepasukan anggota dengan sebuah jentera diketuai Zulkifle Mat Esa tiba di lokasi jam 10.18 pagi.
"Setibanya di lokasi, anggota kami melakukan pemantauan serta pencarian di kawasan yang dilaporkan iaitu di dapur. Ketika itu terdapat benda bergerak di bahagian rak pinggan mangkuk. Hasil pencarian yang dilakukan mendapati ia hanyalah seekor ketam nipah yang terlepas," katanya.
Situasi menggelikan hati itu turut dikongsi di laman Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Alor Setar memberitahu, mereka dihubungi oleh sebuah keluarga yang menyangka rumah mereka dimasuki seekor ular.
"Khidmat khas ancaman ular. Sekali ketam daa yang mengancam. Jaga-jaga dik, disepit ketam itu nanti. Apa pun, stay safe yer semua. Terima kasih pemanggil sebab percayakan bomba," tulis dalam perkongsian itu.
Pengguna Facebook yang terhibur dengan hantaran tersebut sempat bergurau-senda mengenai penemuan melucukan berkenaan. "Harap-harap tuan rumah jamulah sikit ketam masak lemak nenas dengan kailan ikan masin esok ya," katanya.
"Aku dulu duduk kampung rumah dekat dengan paya bakau, jadi ketam jalan sampai rumah aku. Aku hantar dia balik paya bakau esok dia datang lagi. Apa yang dia cari pun tak tahulah. Ketam batu ini memang boleh hidup lama di darat," kata seorang lagi netizen.
EmoticonEmoticon