Selasa, 31 Ogos 2021

Atuk Berusia 110 Tahun Gigih Kayuh Beca Cari Rezeki Demi Sesuap Nasi


Seorang warga emas dari Blitar, Jawa Timur menarik perhatian di media sosial apabila masih gigih mengayuh beca walaupun berusia 110 tahun demi sesuap nasi, lapor Tribunnews pada 28 Ogos 2021.


Kisah warga emas bernama Wakid itu mulai tular apabila seorang pengguna aplikasi TikTok memuat naik rakaman video memaparkan lelaki berkenaan. Novita bertemu dengan warga emas itu pada 20 Ogos 2021, ketika menjadi penumpang dan bertanya tentang kehidupan lelaki itu.


Menurut Wakid, dia akan keluar mencari pelanggan setiap hari dan hidup sebatang kara selepas kematian isteri. Mengaku memiliki beberapa orang anak, namun mereka semua tinggal di bandar berbeza dan bekerja di sana.


"Saya tidak mempunyai tempat tinggal, hanya menumpang tidur di rumah ketua kampung. Setiap hari saya keluar mencari pelanggan tetapi sejujurnya, jika ada yang mahu naik beca, saya hanya mampu menolaknya kerana tidak kuat untuk mengayuh seperti biasa," kata Wakid.


Tambahnya, walaupun sudah lanjut usia, dia masih bersemangat keluar bekerja untuk mencari rezeki demi sesuap nasi. Dalam video tular yang telah ditonton lebih dari 250 ribu kali itu, dia turut mengaku sudah berumur 110 tahun.


Setelah videonya menjadi tular, Novita mengaku mendapat banyak tawaran dari warganet supaya dia membuka tabung derma. Namun, disebabkan masih belum diketahui keadaan sebenar warga emas itu, Novita tidak membuka tabung derma untuk Wakid buat masa ini.


"Saya belum tahu keadaan sebenarnya. Kalau pun mahu buka tabung derma untuknya, saya harus tahu dulu rumah ketua kampung tempat tinggalnya, mohon izin dulu dan saat ini dia memerlukan apa," katanya kepada Tribunnews.


Menurut Novita, apa yang disedarinya, warga emas itu lebih memerlukan tempat tinggal dan kasih sayang yang cukup di usia senjanya. Katanya, Wakid kini tidak bersama keluarganya, isteri telah meninggal dunia dan tujuh orang anak pula tidak tinggal bersamanya.


"Setahu saya, warga emas seperti dia tidak memerlukan banyak wang, tapi lebih memerlukan kasih sayang dan tempat tinggal yang selesa. Harapan saya dia dapat berkumpul semula dengan keluarganya atau dibawa ke rumah kebajikan jika dia bersetuju," jelas Novita.


Warga emas bernama Wakid mengayuh beca setiap hari di usia mencecah 110 tahun.


EmoticonEmoticon