Rabu, 25 Ogos 2021

Antibodi haiwan llama hentikan penularan Covid-19 dalam ujian makmal


Antibodi haiwan llama kemungkinan besar akan mempunyai peranan global dalam membantu memerangi Covid-19. Ini sekiranya ujian klinikal dijalankan syarikat bioperubatan Belgium berjalan lancar seperti dijanjikan, lapor Reuters.


Penyelidik dari Pusat Bioteknologi Perubatan VIB-UGent di Ghent berkata, antibodi yang diekstrak daripada seekor llama yang dikenali dengan nama 'Winter' itu telah berjaya mematikan penularan koronavirus.


Ketua Pegawai Perubatan ExeVir VIB-UGent, Domunique Tersago, mengatakan teknologi yang merupakan kemajuan terbesar ini dilihat dapat meningkatkan peranan vaksin dalam melindungi orang ramai yang mempunyai sistem berdaya tahan yang lemah, selain merawat para individu yang dijangkiti di hospital.


"Antibodi llama yang luar biasa dapat bercantum dengan bahagian tertentu pada S Protein virus dan kami tidak melihat mutasi pada kadar tinggi di sana," katanya.


Tambahnya, antibodi juga menunjukkan tahap peneutralan kuat terhadap varian Delta yang mudah menular. Para penyelidik menjangkakan ujian klinikal terhadap sukarelawan sihat yang dimulakan minggu lalu akan menunjukkan kesan yang sama.


Menurut Ketua Kumpulan VIB-UGent, Xavier Saelens, seperti Ilama dan spesis unta yang lain, Winter menghasilkan versi antibodi yang lebih kecil dan stabil berbanding haiwan-haiwan yang lain.


"Saiznya yang kecil membolehkan ia untuk mencapai sasaran hingga ke bahagian virus yang sukar diakses oleh antibodi biasa," katanya.


Pencarian bagi rawatan Covid-19 itu adalah susulan kepada kajian yang dijalankan pada 2016 melibatkan penggunaan antibodi haiwan llama untuk melawan virus SARS dan MERS.


Pada 2018, syarikat farmaseutikal Perancis, Sanofi membayar 3.9 bilion euro kepada Ablynx, sebuah syarikat perubatan yang mempunyai kepakaran dalam penyelidikan antibodi llama.


Antibodi llama menunjukkan tahap peneutralan kuat terhadap varian Delta yang mudah menular. - Foto Getty Images.


EmoticonEmoticon