Selasa, 10 Ogos 2021

14 Ekor Gajah Mengembara Sejauh 1,300 Kilometer Balik Semula Ke Habitat Asal


Penduduk kampung diarahkan untuk berada di dalam rumah, bekalan elektrik dimatikan, pisang serta makanan gajah lain diletakkan di luar bandar untuk memujuk mamalia itu melalui jalan yang jauh dari rumah penduduk.


Begitulah rutin menyambut kawanan 14 ekor gajah liar di China, yang merayau-rayau dan mencetuskan operasi besar-besaran membawa mamalia besar ini pulang ke habitat asalnya.


Kumpulan gajah liar Asia tersebut telah melakukan pengembaraan di Yunnan selama 110 hari, dan kini balik semula ke habitat asal di Pu'er, selatan wilayah itu.


Menerusi rakaman yang dibuat pada Ahad, kesemua 14 ekor gajah itu dilihat menyeberangi Sungai Yuan selepas mengembara sejauh 1,300 kilometer melalui tiga bandar dan lapan wilayah sejak 16 April.



Sepanjang perjalanan mamalia itu, tiada kes kematian dan kecederaan manusia dilaporkan susulan pelaksanaan langkah-langkah keselamatan oleh pihak berkuasa tempatan.


Setakat 8 Ogos, lebih 25,000 anggota polis dan petugas dikerah untuk memantau pergerakan kawanan gajah tersebut, selain menggunakan 973 dron serta menempatkan 15,000 kenderaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.


Menurut pihak berkuasa tempatan, lebih 150,000 penduduk telah dipindahkan ke kawasan lain bagi tujuan keselamatan, manakala sebanyak 180 tan makanan turut disediakan kepada kumpulan gajah tersebut.


Selain itu, 13 pakar dari Pusat Penyelidikan Gajah Asia Pentadbiran Perhutanan dan Padang Rumput Negara, Institut Zoologi Kunming, Universiti Yunnan, Universiti Perhutanan Beijing dan jabatan lain turut memberikan panduan saintifik dan sokongan teknikal sepanjang pengembaraan gajah tersebut.


Pihak berkuasa tempatan akan mendokumentasikan pengalaman mengendalikan keadaan itu untuk rujukan di masa depan.


Kesemua 14 ekor gajah itu dilihat menyeberangi Sungai Yuan selepas mengembara sejauh 1,300 kilometer melalui tiga bandar dan lapan wilayah sejak 16 April.


EmoticonEmoticon