Sabtu, 17 Julai 2021

Vila misteri tiba-tiba muncul di tepi pantai selepas 28 tahun hilang


Sebuah vila misteri ditemui terdampar secara tiba-tiba di tepi pantai di Costa de Sol, El Salvador, menyebabkan ramai pengunjung berteka teki asal usul bangunan tersebut, lapor laman berita Oddity Central pada 15 Julai 2021 lalu.


Penduduk tempatan dan pe­lancong keliru berhubung pene­muan tersebut di Pantai La Puntilla baru-baru ini. Bagaima­napun, terdapat teori popular mengatakan bahawa vila itu hanyut dan terus 'menghilang' dalam bencana taufan yang membadai El Salvador lebih 20 tahun lalu.


Akhbar tempatan, La Prensa Grafica melaporkan bahawa beberapa penduduk memberitahu, vila misteri yang tiba-tiba muncul itu merupakan sebuah hotel dikenali sebagai Hotel Puerto Ventura kira-kira 28 tahun lalu.


Hotel tersebut dibina hanya beberapa meter dari laut sekali gus menguatkan kemungkinan bahawa ia dihanyutkan oleh air laut.


"Mereka membinanya terlalu dekat dengan pantai. Mereka juga tidak membuat permohonan rasmi kepada pihak berkuasa untuk membinanya (hotel) dan itulah akibatnya," kata seorang penduduk tempatan.



Bagaimanapun, masih tidak dapat dipastikan bagaimana hotel tersebut musnah dalam kejadian Taufan Mitch yang telah membadai El Salvador pada tahun 1998 dan mengakibatkan lebih 9,000 kematian.


Kini, bangunan dua tingkat tersebut menjadi tarikan pelancong yang datang ke situ untuk bergambar. Ada antara pengunjung memanjat tingkat atas vila tersebut bagi mendapatkan gambar pemandangan yang lebih cantik.


Bagaimanapun, penduduk setempat, Coralia Sotelo berkata, beberapa kanak-kanak pernah melihat seorang lelaki kulit hitam yang sangat tinggi berkeliaran di sekitar vila tersebut pada waktu malam, menyebabkannya takut untuk menghampiri kawasan itu.


"Saya takut untuk pergi ke situ dan tidak pernah menghampirinya. Beberapa kanak-kanak yang pergi ke pantai itu untuk menangkap penyu pada waktu malam memberitahu mereka ada terlihat lelaki itu," ujarnya.




EmoticonEmoticon