Jumaat, 16 Julai 2021

Ular sawa 'kenyang' telan anak kambing ditangkap


BEAUFORT - Seekor ular sawa sepanjang hampir empat meter yang baru menelan seekor anak kambing berjaya ditangkap di Kampung Suasa, pada Khamis lalu.


Ular dengan berat kira-kira 25 kilogram itu ditemui di dalam kandang kambing pada jam 12.30 tengah hari selepas pemilik kambing menyedari kehadiran haiwan terbabit.


Susulan kejadian itu, pemilik terbabit bertindak menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan bantuan.


Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort kemudian mengerahkan sepasukan pegawai pelbagai pangkat dengan menaiki dua buah jentera ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 28 kilometer dari balai.


"Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati seekor ular sawa berada di dalam sebuah kandang kambing. Hasil pemeriksaan mendapati ular itu telah menelan seekor anak kambing," katanya ketika dihubungi pada Khamis.


Katanya, pasukan bomba mengambil masa selama 10 minit untuk menangkap ular itu dengan menggunakan peralatan khas.


"Ular sepanjang 12 kaki itu ditangkap bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku. Tiada mangsa lain dilaporkan dalam kejadian ini dan operasi ditamatkan pada jam 1.23 petang," katanya.


EmoticonEmoticon