Isnin, 19 Julai 2021

Suami isteri tidur atas pokok 10 hari elak dimakan beruang


Sepasang suami isteri di Rusia terpaksa hidup 'diselubungi ketakutan' selama 10 hari dan kelaparan di atas pokok ketika bersembunyi daripada seekor beruang coklat, lapor akhbar Mirror pada 17 Julai 2021.


Anton dan Nina Bogdanov yang mengembara ke sebuah hutan di Banniye Springs, Wilayah Kamchatka, terperangkap selepas kenderaan pacuan empat roda milik mereka tersekat dalam lopak lumpur.


Disebabkan tiada sebarang liputan telefon bimbit, kedua-dua mereka terpaksa berjalan ke sebuah pusat pelancong untuk meminta bantuan. Ketika dalam perjalanan seekor beruang tiba-tiba muncul lalu mengejar mereka.


"Beruang itu berjalan di belakang kami, dan kami langsung tidak menyedarinya. Ia bergerak dengan amat perlahan. Suami saya adalah yang pertama ternampak beruang itu. Pada mulanya, kami berjaya menakutkannya, namun ia datang kembali dan mengejar kami," ujar Nina.


Mereka kemudiannya berlari sejauh hampir 200 meter ke arah sebatang sungai, namun terpaksa memanjat sebatang pokok untuk menyelamatkan diri apabila beruang itu hampir menangkap mereka.



"Pemangsa itu hampir membunuh Anton. Saya membuang botol air untuk mengalihkan perhatian haiwan itu. Anton mengambil kesempatan untuk memanjat pokok," katanya.


Beruang itu kemudiannya mengawal bawah pokok tempat Nina dan Anton bersembunyi sehingga memaksa mereka mengambil giliran untuk tidur bagi memastikan haiwan itu tidak bertindak ganas.


Kata Nina, ketika beruang itu bergerak jauh, mereka mengambil kesempatan cuba berlari ke arah sungai, namun usaha untuk ke tebing sungai tidak berjaya apabila beruang itu mengejar dan memaksa mereka memanjat di atas pokok semula.


Keadaan itu berterusan sehingga 10 hari sebelum mereka diselamatkan oleh sebuah kenderaan yang kebetulan melalui jalan itu dan berjaya menghalau beruang tersebut.


"Saya menangis kegembiraan sebaik melihat terdapat kenderaan lain datang menghampiri dan menyelamatkan kami," kata Nina.


Berdasarkan data dari pemerintah Wilayah Kamchatka, empat orang diserang oleh beruang pada tahun 2020 lalu dengan dua kematian. Wilayah ini merupakan 'rumah' bagi 23, 000 beruang.


Nina dan Anton sedang membersihkan diri sejurus diselamatkan. - Foto The Siberian Times.


EmoticonEmoticon