Khamis, 8 Julai 2021

'Spiderman' Panjat Kondominium Hingga Tingkat 19 Ada 18 Rekod Jenayah


JOHOR BAHRU, 8 Julai - Seorang lelaki beraksi ala 'Spiderman' dengan memanjat hingga ke tingkat 19 kondominium Aliff Residence, Tampoi, gemparkan penduduk. Lelaki itu memanjat bangunan berkenaan dari satu tingkat ke tingkat lain dipercayai untuk melakukan kegiatan jenayah.


Kejadian berkenaan dirakam penduduk menerusi satu video berdurasi 53 saat yang tular dalam media sosial. Rakaman itu memaparkan lelaki tersebut dilihat memanjat naik ke luar bangunan dari tingkat 14 hingga ke tingkat 18 sebelum turun semula ke tingkat 14.


Seorang penduduk tempatan yang enggan dikenali berkata, lelaki itu cuba memasuki rumahnya dan mengugut akan mencederakan kalau tidak membuka 'sliding door' beranda rumahnya.


"Kebetulan 'sliding door' rumah saya rosak, saya dan anak cuba menutupnya dari dalam manakala pencuri berkenaan cuba membuka dan mengugut beliau ada pistol.


"Manalah kita jangka pencuri boleh naik hingga ke tingkat tinggi dari beranda ke beranda bangunan kondominium seperti ini," katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.



Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan II, Nordatul Badrol Abd. Rahman berkata, suspek ditahan penduduk setempat ketika berada di beranda tingkat 19.


"Seramai 14 anggota yang tiba ke lokasi kejadian mendapati suspek telah ditahan orang awam ketika dipercayai cuba untuk memecah masuk salah sebuah rumah berkenaan.


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, suspek berusia 27 tahun itu juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine. Suspek disahkan sebagai orang dikehendaki polis dengan memiliki 18 rekod jenayah lampau.


Katanya, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam seorang lelaki ditahan selepas didakwa melakukan pencerobohan rumah kediaman bertingkat pada pukul 5.40 petang, semalam.


"Dalam penahanan itu, polis turut merampas satu peket kecil mengandungi dadah syabu seberat 430 gram, sebuah Toyota Vios, lima unit alat kawalan jauh kereta pelbagai jenama, tujuh jam tangan dan sebilah parang," katanya dalam kenyataan.


Tambah Rupiah, kejadian itu disedari penduduk pada pukul 4 petang sebelum individu berkenaan ditahan kira-kira setengah jam kemudian. Kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.


Aksi seorang lelaki yang dirakam sedang memanjat bangunan sebuah kondominium untuk melakukan jenayah sebelum berjaya diberkas di Kondominium Aliff Residence, Tampoi, Johor Bahru.


EmoticonEmoticon