Seorang ahli perniagaan dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan menipu pelakon Datuk Mohd Fairus Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai Fizz Fairuz berjumlah RM18,100.
Khairul Khuzaini Zamsani, 26, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Tawfiq Affandy Chin.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Khairul Khuzaini didakwa menipu Mohd Fairus Zainal Abidin, 42, sehingga mempercayai beliau memiliki projek pembersihan daripada DBKL berjumlah RM1,810,000.
Tindakan itu didakwa mendorong Fizz Fairuz memasukkan wang berjumlah RM18,100 ke dalam akaun bank milik tertuduh, di sebuah kondominium di Jalan Dutamas Raya, di sini, jam 3.52 petang 6 Jun lalu.
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan. Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya, menerusi peguam Khairul Mukhtar memohon dibenarkan jaminan RM2,000 dengan alasan merupakan penanggung tunggal keluarga.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 September ini untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini media melaporkan, Fizz Fairuz menanggung kerugian RM18,000 selepas ditipu seorang individu berstatus Datuk Seri yang kononnya membuka tender kontrak pembersihan menggunakan nama DBKL.
EmoticonEmoticon