Khamis, 22 Julai 2021

Polis 'ajar' seorang penunggang motosikal guna ekzos bising


Biarpun pelbagai operasi khas dan tindakan saman dilaksanakan bagi membendung masalah ekzos bising, namun ia bagaikan mencurah air ke daun keladi dalam segelintir pengguna motosikal.


Tanpa rasa bersalah mereka sanggup mengeluarkan kos melakukan ubah suai ekzos bagi mendapatkan bunyi bising yang dipercayai mencipta kepuasan ketika beraksi di atas jalan raya.


Impaknya, tindakan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan ketidakselesaan terhadap penduduk khususnya yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan taman perumahan kos rendah.


Bercakap mengenai situasi berkenaan baru-baru ini tular menerusi media sosial satu rakaman video pendek memaparkan tindakan seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) 'mengajar' pengguna motosikal.


Dalam video berdurasi selama empat saat itu menunjukkan pihak berkuasa cuba meletakkan telinga pemuda terbabit berhampiran ekzos motosikal dipercayai miliknya.



Pada masa sama, anggota tersebut telah 'memerah throttle minyak' sehingga mengeluarkan bunyi yang sangat kuat.


Bagaimanapun, tidak dinyatakan lokasi sebenar kejadian itu dirakam, namun difahamkan ia mungkin berlaku di sekitar Sarawak berdasarkan nombor pendaftaran motosikal berkenaan.


Susulan tular klip video berdurasi selama empat saat itu, rata-rata pengguna laman sosial telah meninggalkan pelbagai komen dan reaksi yang menyokong tindakan yang dilakukan anggota itu.


Mereka menyifatkan langkah itu secara tidak langsung memberikan kesedaran kepada empunya diri dan pengguna motosikal lain terutamanya golongan yang obses melakukan ubah suai ekzos demi kepentingan diri tanpa memikirkan kesan pada orang sekeliling.


Tangkap layar aksi seorang penunggang motosikal yang dikenakan 'hukuman' oleh seorang anggota polis.


EmoticonEmoticon