Ahad, 4 Julai 2021

45 Terbunuh, Pesawat Tentera Filipina Membawa Lebih 100 Penumpang Terhempas


Setakat ini, seramai 45 orang dilaporkan terbunuh selepas pesawat tentera yang membawa lebih 100 penumpang terhempas di selatan Filipina hari ini.


Menteri Pertahanan, Delfin Lorenzana, dalam satu kenyataan, berkata setakat ini, 45 mayat ditemui dan 40 mangsa berjaya dibawa keluar dari bangkai pesawat pengangkut Lockheed C-130 yang terbakar.


Jurucakap tentera, Cirilito Sobejana, berkata, pesawat malang itu terbabas dari landasan dan gagal mengawal keadaan sebelum terhempas di sebuah perkampungan pergunungan di kota Patikul di wilayah Sulu.


"Pesawat itu membawa pasukan tentera dari Cagayan de Oro City di Mindanao apabila terhempas sekitar jam 11:30 pagi, waktu tempatan di Patikul, Sulu.


"Kita sudah mengeluarkan 45 mayat dan berjaya menyelamatkan 40 penumpang setakat ini. Pasukan keselamatan kini berada di lokasi kejadian dan kami berharap dapat selamatkan lebih ramai mangsa," katanya.


Setiausaha Kementerian Pertahanan, Delfin Lorenzana berkata, angka kematian boleh meningkat dalam tempoh terdekat.


Pesawat C-130 digunakan untuk mengangkut pasukan tentera dan bekalan. Pesawat itu juga digunakan untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana.


Kebanyakan penumpang dalam pesawat itu adalah pelajar akademi penerbangan yang sudah tamat pengajian dan akan ditempatkan di Jolo untuk membantu tentera Filipina menangani kegiatan pengganas.


Pasukan kerajaan Filipina sudah beberapa dekad berperang dengan kumpulan militan Abu Sayyaf yang menguasai sebahagian besar wilayah Sulu.


Pesawat tentera yang membawa lebih 100 penumpang terhempas di Filipina hari ini. - Foto Twitter.

Gambar fail menunjukkan pesawat pengangkut Lockheed C-130. - Foto Agensi.


EmoticonEmoticon