Beberapa relik ganjil berusia ribuan tahun di China menyumbang kepada teori konspirasi bahawa makhluk asing purba pernah menjajah negara tersebut, lapor akhbar The Sun semalam.
Tumpuan kepada relik di Sanxingdui apabila China memulakan penyiasatan sendiri berhubung objek terbang tidak dikenali (UFO). Peninggalan bersejarah itu ditemui di wilayah Sichuan, barat daya China oleh seorang penduduk kampung pada 1929 dan berusia 3,000 tahun lalu semasa Zaman Gangsa.
Namun, penemuan artifak bermuka aneh dan bertelinga besar lagi runcing seperti wajah makhluk asing itu, telah mencetuskan teori bahawa makhluk angkasa lepas itu telah datang ke China.
"Beberapa patung dewi yang artistik tidak boleh didakwa sebagai makhluk asing," kata Lei Yu yang merupakan ahli arkeologi Institut Penyelidikan Peninggalan dan Arkeologi Wilayah Sichuan.
Ahli arkeologi China baru-baru ini menemui lebih daripada 500 relik di enam lubang korban purba yang diperbuat daripada batu zamrud yang serupa dengan relik asal yang ditemui. Ahli arkeologi percaya bahawa tapak itu adalah bekas ibu kota akhir Dinasti Xia yang memerintah dari tahun 2070 hingga 1600 Sebelum Masihi (SM).
Laporan Pentagon Amerika Syarikat (AS) yang ditunggu-tunggu tentang UFO diterbitkan bulan lalu. Dalam dokumen itu, pegawai-pegawai Pentagon berkata, biarpun tidak menemui apa-apa bukti tentang rakaman UFO oleh anggota tentera laut AS yang menunjukkan kehadiran makhluk asing, teori itu tidak boleh disingkirkan.
Luis Elizondo yang mengetuai Program Pengenalan Ancaman Aeroangkasa Lanjutan (AATIP) berkata, China mungkin berusaha untuk menerajui bidang siasatan mengenai UFO.
Namun, dia mengakui harus bersikap 'realistik' dan AS memerlukan banyak kepercayaan kepada China dan Rusia dalam isu yang begitu penting. Katanya, telah diketahui bahawa China telah menubuhkan pasukan untuk mengesan objek misteri dari luar angkasa itu.
Luis Elizondo, mengatakan bahawa dia percaya China mungkin cuba membawa perbincangan mengenai UFO ke PBB. Katanya, walaupun dia tidak berapa suka berkerja dengan musuh konvensional, dia tetap mengajak semua orang ke meja perbincangan.
"Saya percaya ini adalah topik yang melibatkan seluruh umat manusia. Saya rasa ia mempengaruhi kita semua walaupun berbeza fahaman, bergantung pada sistem kepercayaan falsafah, sosiologi dan teologi kita," katanya.
Penemuan relik berbentuk aneh di China mewujudkan teori penjajahan makhluk asing di negara itu. - Foto Barcroft Media via Getty Images.
EmoticonEmoticon