Sabtu, 10 Julai 2021

Pelik Tapi Benar, Fosil Ikan Paus ditemukan di Tengah Padang Pasir


Hampir seluruh wilayah Mesir adalah gurun pasir kecuali daerah di sekitar aliran Sungai Nil. Maka, tidak hairanlah banyak peninggalan sejarah negara ini terletak kawasan gurun, seperti piramid dan sphinx yang menjadi tarikan kepada jutaan pelancong.


Selain piramid, salah satunya tarikan pelancong adalah 'Wadi Al-Hitan' atau Lembah Paus. Lembah terpencil ini terletak di gurun Barat, kira-kira 150 kilometer barat daya Kaherah. Di sekitar gurun ini terdapat beberapa fosil dan tulang paus yang dipercayai sudah berusia jutaan tahun.


Penemuan fosil paus di gurun tersebut menjelaskan salah satu misteri terbesar evolusi paus sebelum kemunculan ikan paus sebagai mamalia laut. Fosil ini mengesahkan teori evolusi, bahawa ikan paus di lautan masa kini bermula dengan kehidupan sebagai mamalia darat.



Dari hasil penyelidikan, fosil Archaeoceti (sub-paus yang sekarang telah pupus) di Wadi Al-Hitan merupakan tahap evolusi terakhir dari mamalia darat ke laut. Fosil itu memaparkan bentuk badan yang sangat menyerupai ikan paus. Namun, ia masih mempunyai struktur primitif tertentu, seperti tengkorak dan gigi, serta kaki belakang.


Ini jelas menggambarkan bentuk dan kehidupan ikan paus semasa peralihannya. Fosil haiwan purba lain seperti beberapa spesies ikan dan penyu juga ditemui di lembah tersebut. Ini menunjukkan bahawa lembah di sekitar Wadi Al-Hitan pernah menjadi lembangan besar yang terendam air.


Kira-kira 40 hingga 50 juta tahun yang lalu lembah ini mungkin sebahagian dari laut Mediterranean. Namun, lama kelaman ia bertukar menjadi gurun apabila berlaku endapan tebal batu pasir dan batu kapur yang kini terdapat pada formasi batuan di Wadi Al-Hitan.



Kajian geologi telah dilakukan di kawasan itu sejak tahun 1800-an, dan fosil kerangka pertama dijumpai sekitar tahun 1830 tetapi tidak pernah dikumpulkan kerana akses ke lokasi sukar pada masa itu. Pada mulanya, rangka fosil dianggap kerangka reptilia laut yang besar, namun pada tahun 1902 fosil itu dikenal sebagai ikan paus purba berkaki empat.


Pelancong yang datang ke Wadi Al-Hitan dapat melihat fosil dengan mata kasar. Fosil itu hanya tergeletak di tanah, pun begitu pemerintah Mesir sangat melindungi fosil-fosil itu dengan mengenakan denda sangat besar pada sesiapa yang memusnahkannya.


Kira-kira 1,000 pelancong setiap tahun datang ke Wadi Al-Hitan yang kini menjadi tapak Warisan Dunia Unesco, untuk melihat fosil paus purba berkenaan. Penyelidikan mengenai fosil masih dijalankan hingga kini.





EmoticonEmoticon