Tidak dinafikan, kewujudan makhluk asing masih menjadi tanda tanya orang ramai sehingga hari ini. Satu kaji selidik di Britain mendedahkan bahawa satu pertiga rakyat negara itu percaya makhluk asing itu wujud.
Kebiasaannya, makhluk asing hanya digambarkan mengikut wajah hodoh dan imaginasi pengkarya filem dan drama sahaja. Jika makhluk asing ini memang wujud, bagaimana sebenarnya wajah mereka?
Baru-baru ini seorang pengguna media sosial yang mendakwa dirinya pengembara masa, meramalkan bahawa makhluk asing setinggi 213 sentimeter (kira-kira 7 kaki) bakal mendarat di Bumi, pada Mei tahun depan.
Menurut lapor akhbar The Sun semalam, pengguna TikTok yang menggunakan akaun @Futuretimetraveller itu berkata, tarikh sebenar ketibaan makhluk asing itu adalah pada 24 Mei 2022.
"Berdasarkan masa saya, terdapat banyak makhluk asing daripada pelbagai jenis akan hidup di sini sebagai penduduk Bumi pada masa depan," katanya.
Individu yang mendakwa dirinya datang dari masa depan itu turut menamakan kumpulan makhluk asing itu sebagai 'Nirons' yang akan tiba secara aman.
"Amerika Syarikat (AS) akan menyerang makhluk asing tersebut serta memulakan 'perang antara dimensi'," ujarnya.
Video yang dimuat naik itu dikongsi lebih 90,000 kali dan menerima lebih daripada 2,300 tanda suka setakat ini. Seorang pengguna turut mengomen berkata, dakwaan luar biasa memerlukan bukti yang luar biasa.
EmoticonEmoticon